MEMASUKI tahun kedua penganjuran, Anugerah TikTok Malaysia sekali lagi mencipta sejarah tersendiri apabila mengangkat pempengaruh dan pencipta kandungan masakan iaitu Che Sayang Kitchen sebagai pemenang Creator Of The Year 2024.
Tidak dinafikan kecintaan pengguna media sosial yang mudah tertarik kepada video masakan menjadi sentimen penting dalam kemenangan mudah Che Sayang Kitchen atau nama sebenarnya Qayyum Halid.
Kata Qayyum, kemenangan pada malam 11 Ogos lalu menjadi momen tidak dapat dilupakan, lebih-lebih lagi dia berjaya menewaskan dua pempengaruh terkenal dalam arus perdana iaitu Sofyank dan Ryan Bakery.
“Saya tahu nama calon lain sangat hebat dan telah banyak memberi sumbangan terhadap kandungan digital. Secara peribadi saya sendiri tidak menjangkakan kemenangan ini dan benar-benar terkejut apabila nama disebut sebagai pemenang.
Mengatasi pereka kandungan yang terkenal sehingga ke peringkat antarabangsa sesuatu yang tidak dijangkakan. Bagi saya perkara itu agak mustahil, tetapi alhamdulillah itu yang terjadi.
“Semua ini berkat sokongan dan dorongan keluarga yang banyak membantu dalam menghasilkan kandungan. Terus terang pada 2023 saya pernah menjual pelbagai barang, tetapi tidak menjadi sehinggalah saya terlibat dalam kandungan masakan,” katanya yang turut bekerja sebagai jurutera data.
Menjadikan Khairul Aming sebagai idola, apa sahaja yang dilakukan pempengaruh popular itu pasti menjadi rujukannya.
Tidak mengira sama ada resepi atau perancangan masa depan, Qayyum mengharapkan suatu hari dia juga mampu berjaya dan menghasilkan produk yang boleh dipasarkan seperti penerima anugerah sama tahun lalu itu.
Saya meniru bagaimana cara dia berjaya, kemudian olah mengikut kemampuan diri saya. Bagi saya jika dia mampu berjaya, saya juga mampu untuk berjaya dengan cara yang sama.
“Khairul Aming juga merupakan satu-satunya idola yang paling saya kagumi. Saya berharap suatu hari ini kami dapat bekerjasama,” katanya.
Sementara itu, Brader WheelChair atau Nur Izhar Idham, 38, yang meraih trofi anugerah istimewa Changemaker Of The Year menaruh harapan agar kemenangannya pada TikTok Award dapat membuka mata khalayak tentang kesedaran terhadap fasiliti dan hak golongan orang kelainan upaya (OKU).
Kemudahan yang tersebut disifatkan belum mencapai tahap maksimum dan mampu memberi keselesaan kepada OKU untuk berada di tempat umum.
Bagi mereka yang kerap menggunakan kemudahan awam seperti transit aliran ringan (LRT) pasti sering berdepan kegagalan fungsi lif. Saya tahu banyak pihak sedar masalah ini, tetapi sehingga ke hari ini masih tiada penyelesaian.
“Perkara sama tetap berulang. Kemudahan itu bukan sahaja untuk golongan OKU, tetapi warga emas, ibu hamil dan keluarga yang membawa kereta sorong bayi,” jelas Izhar.
Aktif menghasilkan kandungan mengenai rutin harian individu OKU sejak 2021, Izhar memberitahu, kemalangan jalan raya 20 tahun lalu memaksanya hidup di atas kerusi roda.
“Pada 2004 saya mengalami kemalangan jalan raya apabila motosikal yang ditunggang dilanggar kereta. Saya terjatuh dan badan digilis kereta sama sehingga menyebabkan separuh badan lumpuh.
“Awalnya tujuan saya kongsikan video untuk berkongsi pengalaman saya melakukan aktiviti harian dengan berkerusi roda.
“Tidak sangka usaha itu mendapat perhatian dan sekali gus memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang komuniti OKU,” jelasnya.
Anugerah TikTok Malaysia 2024 yang berlangsung di Pusat Dagangan Putra (WTC) Kuala Lumpur mempertaruhkan 12 kategori pertandingan dan menampilkan Che Puan Sarimah Ibrahim dan Janna Nick sebagai pengacara.
Kategori Celebrity Of The Year dimenangi pelakon dan penyanyi Bella Astillah, sementara Live TikTok Creator Of The Year milik Acap S atau Asraf Jaafar, Video Of The Year (Agy Official), TikTok Shop Creator Of The Year (Pinn Yang).
Kategori lain seperti Entertainment Creator Of The Year menjadi menjadi milik Kanafly, Animation Creator Of The Year (Yimotapir), Gaming Creator Of The Year (Kingshahx), Sports Creator Of The Year (Amaranas), Food Creator Of The Year (Tang Guo Shop), Education Creator Of The Year (Aminxabid) dan Beauty and Fashion Of The Year (Aishah Rahim).
Acara turut dimeriahkan persembahan artis popular antaranya Aina Abdul, Naim Daniel, Aisha Retno, Sarah Suhairi, Amir Jahari, Zubir Khan, Ezra Kairo, Alfie Zum, Muahx, Faizal Tahir, Wani Kayrie dan Afieq Shazwan. – HIBGLAM