LIMA belas tahun mencanai bakat sebagai penyanyi, Yuna mengakui masih lagi menerima komen negatif mengenai penampilannya termasuk penggunaan turban yang menampakkan leher.
Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara’ai, 37, berkata, dia sering diminta mengabaikan kritikan tersebut namun tindakan itu hanya membuka ruang kepada warga maya untuk terus ‘berkompang’ tanpa memikirkan perasaan orang lain.
“Orang selalu suruh saya abaikan komen sebegini (negatif) tetapi perkara ini perlu dibincangkan kerana jika dibiarkan mereka akan bercakap sesuka hati.
“Satu perkara yang lebih mengejutkan saya yang berumur 37 tahun dan sudah berkecimpung dalam dunia muzik selama 15 tahun, masih ada individu dalam komuniti meninggalkan komen sinis dan jahat.
“Suruh saya pakai baju seperti apa atau meminta saya menanggalkan hijab. Mereka berbuat begitu tanpa menghabiskan masa satu minit pun memahami situasi saya,” katanya dalam Instagram.
Menerusi perkongsian sama, penyanyi lagu Crush itu menyifatkan senario itu tidak sihat apatah lagi dia tidak mengenali individu terbabit.
“Hanya ada satu perkataan iaitu toksik. Adakah ini yang kita semua inginkan? Bukankah kita diajar untuk saling menyayangi? Apa yang saya buat sehinggakan anda marah?
“Saya tidak pernah bertemu dengan anda. Saya cuma menghasilkan lagu dan tidak pernah memberitahu anda bagaimana mahu meneruskan hidup. Jadi fikirkanlah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Yuna tanpa ragu-ragu meminta pihak yang tidak berasa puas hati dengan penampilannya agar nyah ikut (unfollow) akaun media sosial miliknya.
“Saya harap anda jumpa jati diri anda sendiri. Apabila perkara ini sudah diperkatakan, sila nyah ikut jika anda berasa tidak puas hati dengan saya sekarang. Saya ada banyak muzik, video baharu, promosi, persembahan dan sesi fotografi yang bakal mendatang.
“Sebarkan rasa cinta dan aura positif kepada semua pembenci (haters) kerana mereka benar-benar memerlukannya. Begitu juga mereka yang mengatakan rindu kepada Yuna yang dahulu juga boleh nyah ikut. Anda tidak kenal saya seperti mana sebelum ini. Terima kasih,” tegasnya.
Kenyataan Yuna itu disokong bekas birasnya yang juga selebriti popular Indonesia, Bunga Citra Lestari.
“Kata-kata. Saya sayang kamu. Jadilah diri sendiri,” tulisnya di ruangan komen.
Sebelum ini penampilan Yuna pernah dikritik gara-gara mengenakan tudung bersama aksesori berkilau ketika hadir ke Minggu Fesyen New York pada September 2022. – HIBGLAM