‘Tinggal sekejap pun dah rindu Uqaira’ – Uqasha tolak tawaran berlakon

Keutamaan saya memang pada anak 100 peratus.”

Itu respons pelakon jelita, Uqasha Senrose saat ditanya tentang pengalaman bergelar ibu selepas tiga bulan melahirkan puteri sulungnya, Hawra Uqaira.

Menurut Uqasha atau nama lengkapnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 32, dia kini baru faham bagaimana perasaan menjadi seorang ibu.

“Kehidupan saya berubah 360 darjah selepas ada anak.

Saya sudah tidak kisah langsung tentang penampilan diri. Biarlah muka mak dia macam zombi yang penting anak kena sentiasa wangi,” katanya ketika ditemui di tayangan perdana filem Takluk : Lahad Datu di sini, semalam.

Pelakon drama Rindu Awak Separuh Nyawa itu juga mengakui berasa ralat untuk berjauhan dengan puterinya biarpun sekejap.

Disebabkan itu juga dia terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan kerana masih belum bersedia selain masih dalam proses belajar menjadi ibu.

“Saya masih belum boleh berenggang dengan Uqaira buat masa ini. Perkara ini masih baru untuk saya. Ini kali pertama saya bergelar ibu. Tak mungkin dalam masa tiga bulan saya dah tahu untuk menguruskan segala-galanya. Setiap hari adalah proses pembelajaran untuk saya.

Memang ada tawaran lakonan seperti drama bersiri daripada Radius One. Tetapi saya terpaksa tolak kerana tidak mahu asyik terfikir tentang anak bila di set penggambaran.

“Ini saya nak tinggalkan dia nak tengok wayang pun dah rasa sedih walaupun dua jam sahaja,” katanya yang hadir memberi sokongan kepada suami tercinta, Kamal Adli.

Selain tidak boleh berenggang dengan anak, kakak kepada Nelydia Senrose dan Raysha Rizrose ini juga mahu memastikan tubuhnya kembali langsing sebelum kembali beraksi di hadapan kamera.

Saya rasa badan saya pun masih belum mengizinkan saya untuk kembali berlakon. Saya tengah ‘kembang’.

“Tambahan pula saya bersalin secara pembedahan. Jadi agak lambat untuk turun berat badan.

“Tetapi untuk kerja-kerja sebagai duta produk saya okey sahaja,” katanya seraya berkongis sudah ada tawaran untuk Uqaira menjadi duta produk.

sebagai rekod, pada 27 April lalu, Uqasha selamat melahirkan bayi sulung, Hawra Uqaira seberat 2.27 kilogram selepas dua kali mengalami keguguran.

Uqasha sah bergelar isteri kepada pelakon Kamal Adli, 38, pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok