Tidak lagi tersekat dalam ruang emosi sama -Feby Putri

“TERKEJUT tiket konsert kali ini sold out tapi paling saya harapkan ialah penonton pulang dengan rasa bahagia.”

Demikian harapan yang terbit daripada bibir susuk bernama Feby Putri sebelum beraksi pada konsert Feby Putri Vol.2 ‘Detik Menit Jam’ di panggung Zepp, Kuala Lumpur (KL) Sabtu lalu.

Berbeza dengan tahun lalu, konsert kali ini membuatkan penulis terkejut dengan jumlah kehadiran penonton. Zepp KL padat! Mana tidaknya, tiket sold out.

Lain macam penangan muzik Feby di Malaysia, meledak dalam tempoh dua tahun selain berjaya mengumpul kelompok peminatnya sendiri.

Tepat pukul 8.30 malam, penyanyi kesayangan generasi muda ini muncul memanaskan pentas menerusi lagu dendangan lagu Tanpa Pamrih, Alih, Andai Kata dan Sendiri Dulu.

 Menulis dan melahirkan karya muzik dengan ‘rasa’ termasuk pengalaman sendiri, Feby bersyukur kerana kelompok peminatnya di Malaysia kian berkembang.

Katanya, rasa gemuruhnya untuk membuat persembahan masih sama seperti perdana yang diadakan di lokasi sama sekitar Mac lalu.

“Rasa sangat gemuruh berdiri di hadapan anda semua malam ini.

“Terima kasih membeli tiket dan tanpa henti menyokong karier seni saya,” katanya.

Tidak berlengah-lengah, penyanyi berusia 24 tahun itu berjaya menyita perhatian ramai dengan lontaran emosi menerusi lagu Dera.

Menariknya, lagu tersebut didedikasikan khas buat bumi Palestin yang kini bergolak dengan peperangan.

“Saudara dan saudari di Palestin, semoga diberi perlindungan. Para syuhada semoga diberi tempat yang mulia.

“Semoga khabar baik segera menyapa kita,” itu doa yang tertera pada skrin sepanjang persembahan.

Tidak lengkap persembahan penyanyi berusia 24 tahun itu tanpa gerakan atau tarian signatur yang sering dilakukan setiap kali berada di pentas.

Memasuki set kedua, dia membayar penantian ramai menerusi seleksi lagu popular, Kembali Pulang, Usik dan Cahaya sebelum menyanyikan Halu iaitu single yang berjaya melonjakkan karier seninya.

TERKENAL dalam kalangan peminat Gen Z, Feby mendendangkan lagu-lagu popularnya termasuk single baharu berjudul Tangan-Tangan Ucap Perpisahan yang didedikasikan buat rakyat Palestin.

Satu hal yang menarik sehingga membuatkan ramai penonton sebak ialah Feby menyelitkan rakaman suara Allahyarham ibunya, Endang Suciaty yang menyanyikan bahagian korus lagu Halu.

“Ibu sudah meninggal dunia tahun lalu tetapi saya percaya semangatnya sentiasa berada bersama sepanjang konsert malam ini.

“Pada konsert pertama di Malaysia tahun lalu, dia sempat membuat panggilan video dengan saya selepas acara tetapi tahun ini tiada lagi momen sebegitu,” katanya dalam nada sebak.

Tidak berlama-lama larut dalam kesedihan, dia seterusnya mendendangkan buat pertama kali single terbaharu, Tangan-Tangan Ucap Perpisahan yang bakal dimuatkan dalam album keduanya kelak.

Persembahan yang berlangsung selama satu jam setengah itu ditutup dengan Liar Angin, Detik Menit Jam, Rantau dan Runtuh.

Berpeluang menemu bual sebelum acara, anak kelahiran Makassar itu sempat berkongsi tentang lagu Tangan-Tangan Ucap Perpisahan yang berkisarkan kehidupannya ketika mula berhijrah ke Jakarta pada usia 18 tahun.

Ujarnya, lagu tersebut dihasilkan sendiri termasuk lirik dan melodinya.

FEBY tidak kisah digelar penyanyi lagu ‘healing’, namun pada masa sama, ingin terus meneroka dunia muzik yang tidak bersempadan.

“Lagu ini sangat peribadi untuk saya. Dari judul sahaja saya sudah beri gambaran dan mahu menunjukkan tentang lambaian perpisahan.

“Karya ini tentang kisah saya ketika berpisah dengan keluarga dan merantau membina kehidupan baharu berbekalkan harapan sendiri serta doa orang tua,” ujarnya.

Ditebak pertayaan apabila ramai menjadikan karya-karya ciptaannya sebagai bahan eskapisme, sumber ‘healing’ dan menyembuhkan luka dalam diri, Feby berulang kali menegaskan, dia sangat mengutamakan perasaannya sendiri untuk setiap lagu berbanding apa yang dirasai orang lain.

“Saya okey orang label lagu healing dan menyembuhkan, namun saya tidak mahu terikat dengan label lagu healing.

“Apa sahaja lagu yang terhasil, saya akan utamakan perasaan, pengalaman sendiri dan barulah lancarkan untuk umum.

“Kalau orang boleh kaitkan lagu dengan kisah hidup mereka, ternyata itu satu bonus buat saya,” jelasnya.
Dalam pada itu, dia mengakui semakin berani meneroka banyak perkara baharu dalam penghasilan muzik.

“Sebelum ini, saya sangat polos, baru belajar tentang muzik tetapi sekarang semuanya sudah berbeza.

“Seiring waktu yang berjalan, muzik saya sudah tidak lagi tersekat dalam emosi dan ruang sama,” ungkapnya menggulung perbualan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok