Berasal dari Thailand dan Asia Tenggara yang disifatkan tidak menepati piawaian kacak di Korea Selatan, anggota kumpulan GOT7, BamBam mengakui sehingga ke hari ini dia berdepan diskriminasi.
Idola berusia 27 tahun mula meninggalkan Thailand pada 2010 untuk mengejar mimpinya menjadi idola K-pop. Keadaan mulanya berpihak kepadanya sewaktu masih menjadi pelatih di JYP Entertainment.
Keadaan masih okey semasa saya menjadi pelatih sebab tinggal dengan orang asing dari pelbagai negara juga. Beberapa ahli GOT7 juga tinggal bersama. Jadi kami sangat rapat dengan antara satu sama lain.
“Tapi selepas saya debut, semuanya tidak berjalan seperti difikirkan dan saat itu merupakan masa sukar. Saya sering menjadi sasaran rasisme daripada orang Korea.
“Banyak orang mengejek penampilan dan asal-usul saya dari Asia Tenggara yang dikatakan tidak setaraf dengan mereka. Saya terima banyak komen buruk meskipun masih terlalu muda saat itu,” dedahnya menerusi satu rancangan temu bual.