‘Tiada lagi rasa rindu menyakitkan itu’

BUKAN mudah untuk melepaskan insan tersayang dan melihatnya bahagia bersama orang lain. Namun, itulah ceritera cinta yang perlu dilalui pemilik nama Nurfarrah Izatie Johari ketika berdepan fasa patah hati tidak lama dahulu.

Mengakui tiada sisa rasa yang tinggal, namun sejarah yang terpahat dalam ingatan tidak mungkin lenyap begitu sahaja.

Dengan perasaan itu juga penyanyi berusia 27 tahun yang terkenal dengan nama pentas sebagai Ara Johari meluahkan segala luka lama dalam lagu baharu bertajuk Menjaga Jodoh Orang Lain.

Bukan sekadar berkongsi duka, malah lagu yang mendapat sentuhan pemuzik Indonesia, Ilham Baso tersebut turut didedikasi buat semua pencinta sama ada yang sudah berkahwin atau mempunyai pasangan.

“Setiap orang pasti pernah merasai pengalaman putus cinta. Bagi saya, ini semua cerita lama yang sudah jadi kenangan dan saya imbau.

Mengingatkan semula apa yang pernah berlaku dulu bukan bermaksud saya masih mempunyai rasa rindu atau tidak berganjak daripada rasa sakit itu.

“Tetapi saya ingin perasaan itu ada dalam lagu baharu ini.

Bukan sahaja mengenai kegagalan dalam percintaan, tetapi lagu ini juga saya tujukan buat mereka yang bercinta dengan mereka yang sudah berumah tangga atau berpunya,” ujar Ara.

In ARA membuat keputusan untuk menghasilkan lagu balada patah hati selepas berasakan genre sebegitu mendapat perhatian peminat terutama menerusi aplikasi TikTok.

Diajak berbicara tentang cinta lara, Ara sudah tutup buku. Dia enggan mengulas lanjut mengenai kisah yang pernah mencengkam rasa.

“Saya tiada komen mengenai kisah ditinggalkan atau meninggalkan.

Saya tidak mahu buka cerita apa-apa atau membuka aib sesiapa atau memberitahu sesiapa dalam peristiwa tersebut.

“Pada saya rasa putus cinta itu sakit, tetapi yang paling menyakitkan adalah cara dia meninggalkan kita,” lenturnya

Transisi

Rancak fokus soal lagu baharunya yang berentak balada, tanpa berselindung Ara mengakui sangat memuja penyanyi popular Indonesia, Mahalini.

Kelunakan suara isteri kepada penyanyi Rizky Febian itu secara tidak langsung mendorong Ara ikut menyanyikan lagu galau patah hati atau dipanggil lagu galau bagi peminat muzik Seberang.

Saya memang sukakan lagu galau nyanyian Mahalini, Lyodra dan Keisya Levronka.

“Saya kemudian luahkan hasrat itu kepada pengurus saya dan akhirnya kami terbang ke Seberang.

Apabila mendapat demo (lagu contoh), saya terus jatuh cinta kerana liriknya sangat mendalam dan sesuai dengan pendengar masa kini.

“Diharapkan lagu ini juga dapat menjadi titik awal untuk saya mengembangkan bakat di Indonesia,” katanya.

PELUANG bekerjasama dengan pemuzik Indonesia, Ilham Baso berjaya merealisasikan impian Ara untuk memiliki sebuah lagu galau sama seperti nyanyian bintang pujaannya, Mahalini.

Ara mengharapkan percaturan menggunakan pemuzik Indonesia menjadi langkah awal buatnya menghasilkan lagu sebegitu pada masa akan datang.

Katanya, rentak sebegitu menjadi pilihan masa kini selain menjadikan aplikasi TikTok sebagai medium untuk menentukan selera pendengar.

“Perancangan memang ada, tetapi saya hendak tengok masa depan bagaimana. Sekarang kalau kita hendak tahu lagu tular, kita perlu tengok Tik Tok.

Jadi kenal pasti trend muzik sekarang, kita ikut selera pendengar semasa. Selepas ini saya ada merancang untuk menerbitkan album pula.

“Memandangkan saya juga sudah lapan tahun dalam industri, jadi saya dan pengurusan merancang untuk menerbitkan album.

“Saya mahu ada sebuah album yang menjadi kayu ukur kerjaya sebagai penyanyi,” jelasnya.

Berhubung khidmat tenaga kerja dari Seberang, menyifatkan pengalaman menghasilkan lagu Menjaga Jodoh Orang Lain memberinya pola fikir yang berbeza.

“Selama ini saya bekerjasama dengan pemuzik tempatan dan saya fikir sudah tiba masanya untuk membuat peralihan.

Bukan saya tidak percaya dengan kemampuan pemuzik tempatan, tetapi saya ingin mencuba perkara baharu.

“Lagu ini mengambil masa tujuh jam untuk proses rakaman yang dilakukan pada hari lahir (27 Jun lalu). Dalam masa seminggu, lagu ini sudah siap sepenuhnya.

Bekerja dengan produksi kali ini satu pengalaman baharu dan peluang melihatkan bagaimana proses penghasilan lagu di Indonesia di samping tenaga kerja yang sangat profesional, baik dan cepat bekerja,” terangnya panjang lebar.

ARA menjalani rakaman lagu baharunya pada tanggal ulang tahun kelahirannya yang ke-27 pada 27 Jun lalu di Indonesia.

Bukan sahaja lagu, video lirik lagu berkenaan juga menjalani penggambaran di Indonesia.

Demi merealisasikan video tersebut, Ara perlu mencabar diri untuk menjayakan babak menangis.

Dia perlu menangis semahu-mahunya agar kelihatan senada dengan melodi galau Menjaga Jodoh Orang Lain.

“Saya kena berikan sesuatu yang luar biasa.

Saya ini bukan orang yang mudah menangis dan masa penggambaran agak sukar kerana saya perlu menangis. Disebabkan itu saya perlu menangis betul-betul dalam kereta demi mendapatkan visual yang cantik.

“Untuk penggambaran video muzik masih belum dilakukan. Insya-Allah penggambaran akan dibuat di Indonesia dalam tempoh masa terdekat ini.

Tetapi video lirik lagu Menjaga Jodoh Orang Lain sudah ada dalam YouTube,” jelasnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok