Pelakon popular, Zahirah Macwilson berkongsi khabar duka apabila nenek tersayangnya kembali menghadap Ilahi sekitar pukul 8.40 malam semalam.
Berita mengenai kematian neneknya yang dikenali sebagai Faridah Nyak Mohamad dikongsikan Zahirah atau nama lengkapnya Nur Zahirah MacWilson Zainol MacWilson, 29 , menerusi satu hantaran dalam Instagram.
“Al-Fatihah buat nenek tersayang kami. Bertuahnya saya dapat memiliki nenek sepertimu. Bertuahnya saya dapat menjaga nenek sepertimu dan betapa bertuahnya saya dapat berada di sampingmu saat menghembuskan nafas terakhir.
“Saya akan merindui gelak ketawa nenek. Kecintaan nenek pada drama Melayu. Rutin membaca surat khabar setiap pagi. Masakan enak nenek, cerita yang tiada kesudahan serta hatimu yang besar.
“Terima kasih kerana menjadi peminat nombor satu saya. Orang yang akan kumpul setiap keratan artikel berita tentang saya. Kehidupan saya tidak akan sama tanpa nenek. Tetapi nenek kini berada di tempat yang lebih baik,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Ruangan komen hantaran tersebut dihujani dengan ucapan takziah termasuklah daripada bapa Zahirah sendiri Zainol Macwilson.
“Kakak (Zahirah) kamu adalah cucu terbaik yang nenek pernah ada. Tiada seorang pun dapat lakukan apa yang kamu dan Aiman dah lakukan pada nenek sejak dari hari pertama hinggalah nafas terakhir arwah.
“Walaupun kakak baru sahaja bersalin anak kedua, tetapi kakak tetap cari masa untuk menjaga nenek.
“Papa selalu beritahu kakak supaya jaga nenek. Jangan risau tentang papa. Biarpun papa adalah ‘bekas menantu’, tetapi papa sangat sayang dan hormat dengan nenek,” tulisnya.
Terdahulu pada 5 Ogos lalu Zahirah memaklumkan kesihatan neneknya semakin merosot kerana mengalami masalah kegagalan buah pinggang, jantung lemah dan paru-paru berair. – HIBGLAM