Tiada istilah serik, kami bersama Mamat sejak kecil – Exists

BIARPUN berkali-kali terpalit dengan isu penyalahgunaan dadah, kumpulan Exists tidak serik bekerjasama dengan Mamat.

Menurut Ajai selaku pemain keyboardExists, apa yang berlaku kepada Mamat adalah masalah peribadinya, tiada kena-mengena dengan band.

Sudah tentu kami tidak akan pernah serik dengan Mamat. Kalau kami serik, kami tak akan panggil dia semula untuk menjayakan konsert bersama.

“Setiap kali ada tawaran konsert kami akan syorkan nama dia dan penganjur pun suka kalau dia ada. Kami sendiri lebih suka kalau Mamat dan Ezad ada bersama.

Kami sudah bersama sejak dari kecil lagi. Peminat pun masih sayangkan dia,” katanya ketika ditemui di sidang media Konsert Rock Nostalgia, semalam.

Sementara itu, bagi pemain bass Exists iaitu Musrad dia berpendapat bahawa posisi Mamat adalah di atas pentas, bukan di tempat lain.

“Dia bukan cef untuk duduk di dapur. Dia seorang penyanyi dan tempatnya adalah di atas pentas.

Setiap kali kalau kami nak buat konsert, peminat pasti bertanya adakah Mamat akan terlibat sama. Mereka masih menyokongnya.

“Saya harap kita sama-sama doakan agar Mamat kembali pulih dan dapat beraksi semula dia atas pentas,” ujarnya.

Ditanya tentang perkembangan terkini Mamat, kata Ajai sahabatnya itu kini sedang menjalani rawatan di pusat pemulihan dan mereka terputus hubungan buat sementara waktu.

“Mamat kini tidak dapat dihubungi kerana sedang menjalani tempoh rawatan yang sangat ketat selama enam bulan.

Dia akan jalani tempoh rawatan dan pengawasan selama dua tahun. Tetapi untuk enam bulan pertama memang kami tidak akan dapat berkomunikasi dengannya. Hanya keluarga terdekat yang boleh.

“Tetapi kami ada bertanya tentang perkembangannya daripada keluarga serta kenalan. Insya-Allah tahun depan mungkin Mamat sudah boleh kembali beraksi bersama Exists dengan kebenaran Agensi Anti Dadah Kebangsaan,” ujarnya.

Terdahulu pada Julai lalu Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 47, mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah jenis Methamphetamine pada 2019.

Susulan pengakuan bersalah itu, dia dikenakan hukuman denda sebanyak RM4,000 serta diarahkan menjalani pengawasan dua tahun di bawah Agensi Anti Dadah di Bentong, Pahang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok