Tangguh sambung belajar, siapkan album dahulu – Wani Kayrie

ENGGAN perjalanan karier terganggu, penyanyi dan pelakon Wani Kayrie memilih menangguhkan hasrat menyambung pengajian peringkat Sarjana.

Wani atau nama lengkapnya Syazwani Abdullah, 24, berkata, keputusan itu bukan bermaksud dia mengetepikan pendidikan tetapi kerana terikat dengan jadual kerja yang padat.

“Saya memang merancang sambung belajar tetapi masa belum mengizinkan.

“Kerjaya seni saya sedang berkembang dan dalam proses menyiapkan album.

“Jadi sebaiknya niat untuk sambung belajar saya tangguhkan dahulu, biar fokus kerja dahulu. Saya pula memang jenis fokus kepada satu perkara. Bimbang jika fokus belajar, kerjaya pula terabai,” katanya kepada HibGlam.

Ditanya sama ada satu hari nanti ada perancangan untuk berundur dari dunia seni bagi memberi laluan kepada bidang yang dipelajari iaitu undang-undang dan perundangan, Wani berkata setakat ini belum pernah terfikir mengenainya.

Tegas Wani, menggenggam sijil dalam akademik merupakan impiannya sejak kecil dan seboleh mungkin ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Fokus utama saya ialah kerjaya dalam bidang hiburan iaitu apa yang saya buat sekarang. Tetapi saya juga suka belajar, cuma buat masa ini peluang untuk ke peringkat selanjutnya itu belum terlaksana.

“Setiap individu mempunyai pandangan masing-masing kerana ada yang mengatakan Ijazah Sarjana Muda sudah cukup, tetapi bagi saya tidak kerana ada keinginan untuk sambung belajar.

“Sama ada ingin tukar kerjaya itu saya tidak pasti,” jelasnya.

Pada Mei lalu Wani berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Management & Science University (MSU) dan berjaya menerima Anugerah Dekan dengan keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.54. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok