Takluk: Lahad Datu bebas potongan LPF

MENGHASILKAN sesebuah naskhah genre kepolisan, ketenteraan dan mengetengahkan isu sensitif bukan kerja yang mudah.

Bebanan itu diakui pengarah filem Takluk: Lahad Datu, Zulkarnain Azhar yang menyifatkan naskhah tersebut antara paling sukar direalisasikan setakat ini.

Memilih kisah tragedi berdarah di Lahad Datu, Sabah sebagai teks utama, Zulqarnain mahu rakyat negara ini menjadikan kisah tersebut sebagai pengajaran selain menyemai rasa kagum terhadap pengorbanan pihak berkuasa melindungi tanah air.

Kami ketengahkan tragedi hitam di Lahad Datu sebagai penghormatan kepada anggota keselamatan khususnya pasukan pasukan elit Polis Diraja Malaysia (PDRM), VAT69 Komando yang berjuang dan terkorban mempertahankan negara sekitar 11 tahun lalu.

“Menerusi filem ini, kami tidak mahu mengagungkan tindakan kejam penceroboh, namun mahu menitipkan penghargaan tinggi untuk setiap keringat anggota PDRM yang terkorban ketika melawan pengganas,” katanya.

Bercerita lanjut, produksi juga menginspirasikan peristiwa hitam di Lahad Datu dek memikirkan pembikinan sesebuah karya mengangkat kisah benar lebih sukar untuk dihasilkan.

Bukan sahaja fakta, sesi pemilihan pelakon tambahan untuk filem diklasifikasikan untuk P16 tersebut juga tidak kurang sukar. 

“Kami terpaksa menolak banyak permohonan individu yang berminat menjadi pelakon tambahan, terutama ketika di Sabah.

Kami memang sangat berhati-hati selepas dimaklumkan PDRM bahawa mereka tidak mempunyai kad pengenalan,” katanya.

Tambah Zulkarnain, PDRM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut memantau setiap aspek dalam penghasilan filem berkenaan dengan meletakkan beberapa syarat bagi memastikan tidak melanggar perkara tidak sepatutnya.

“Untuk filem ini, kami tak fokus penggunaan dialek tertentu atau paparkan nama sebenar pengganas kerana tidak mahu menggores perasaan sehingga menimbulkan kemarahan dan mencetuskan sebarang kontroversi.

Antaranya, kami diingatkan tidak mengguna walau satu pun imej bendera Sabah, sebarang bahasa negeri itu mahupun nama sebenar pihak musuh tidak digunakan sepanjang pembikinan.

“Jadi kita hanya jadikan inspirasi daripada situasi berlaku, watak dan nama difiksyenkan dan gambarkan situasi mengikut kejadian sebenar,” katanya lagi.

Zulqarnain bersyukur filemnya bebas daripada sebarang pemotongan babak oleh LPF meskipun terdapat adegan yang ‘ngeri’ seperti memenggal kepala pegawai polis.

Apa yang anda tonton, itulah jalan cerita asal yang tidak melalui sebarang pemotongan.

“Tiada sebarang babak yang perlu dibuang, sekali gus tidak mencacatkan plot  cerita,” tuturnya.

Takluk: Lahad Datu secara dasarnya diinspirasi daripada kisah benar pencerobohan sekumpulan pengganas Sulu dari Selatan Filipina di Lahad Datu mulai hujung Februari sehingga Mac 2013.

Dalam filem berkenaan, pencerobohan dilakukan kumpulan Gagasan Militan Nusantara (GMN) yang dipimpin Raja Iskandar, lakonan aktor handalan Eman Manan.

Sementara itu, salah seorang pelakonnya, Syafiq Kyle berkata, dia dan barisan pelakon lain turut menjalani latihan seperti dilakukan VAT69 Komando yang disifatkan sebagai mencabar.

Sepanjang tempoh berlatih dengan pasukan komando, saya dapat banyak input daripada mereka yang sangat membantu mendalami watak untuk filem ini,” tuturnya.

Syafik yang membawa watak utama sebagai Deputi Superintendan (DSP) Zambri berkata, antara yang mencabar kemampuannya adalah babak memberi arahan kepada barisan komando sebenar dalam filem berkenaan.

“Pelakon hanya tiga barisan di hadapan tetapi selebihnya semua komando sebenar.

Saya juga banyak bertanya kepada komando tentang percakapan dan tindakan, adakah sama seperti mereka,” ujarnya.

Dalam masa sama, Syafiq berbangga dapat terlibat dalam sebuah naskhah yang membawa mesej patriotisme terutama pada bulan kemerdekaan.

Memang bangga dapat berada dalam filem ini, lebih-lebih lagi pada bulan kemerdekaan. Patut ada banyak lagi filem kenegaraan begini,” katanya.

Selain Syafiq, filem yang mula ditayangkan sejak 22 Ogos lalu turut dibintangi Eman Manan, Kamal Adli, Fikry Ibrahim dan Anding Indrawani.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok