Tak pernah rasa rugi tak jejak disko – Siti Nurhaliza

PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menegaskan tidak rasa terkilan walaupun zaman remajanya dikorbankan demi memberi fokus terhadap kerjaya seni.

Menurut Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin, zaman remaja yang dilaluinya berbeza dengan individu lain serta tidak merasai momen bersosial.

Saya melalui zaman remaja yang tak sama macam orang lain. Tiada masa nak melepak atau keluar dengan kawan-kawan untuk berseronok.

“Pada usia 17 tahun saya terus fokus jadi anak seni dan tak berhenti bekerja,” katanya menerusi temu bual podcast bersama anak tirinya, Ashraf Khalid baru-baru ini.

Dalam perkongsian sama, Siti juga berkata dia tidak pernah menjejakkan kaki ke pusat hiburan atau disko seperti yang dilakukan remaja seusianya ketika itu.

Pergi disko waktu remaja untuk berseronok memang tak pernah dalam hidup saya tapi tidak rasa bosan pun.

“Saya tak pernah rasa rugi tidak pernah menjejakkan kaki ke sana sebab jadual padat dengan kerja,” kata ibu kepada dua cahaya mata itu.

Meskipun tidak merasai keseronokan seperti dilalui orang lain, Siti tetap bersyukur kerana dikelilingi dindividu yang menjaga dirinya dengan baik.

Sama seperti orang lain, dia juga mengakui pernah berasa terlalu penat dengan kerjayanya namun atas nasihat ibu tercinta, tanggungjawab sebagai anak seni tetap diteruskan.

“Penyesalan untuk menikmati keseronokan itu tiada. Alhamdulillah saya bersyukur sangat sebab dijaga baik oleh orang sekeliling.

Tipulah kalau saya tiada rasa nak berehat tetapi ini jalan yang saya pilih dan memandangnya sebagai satu tanggungjawab. Jadi, tak boleh nak merungut.

“Jika teringat semula, itulah kesusahan dan pengorbanan yang buat saya boleh berada di tempat sekarang,” katanya lagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok