‘Tak pernah doakan bercerai, cuma mohon Allah beri yang terbaik’

SAYA tak pernah berdoa mereka bercerai.”

Demikian kenyataan ibu kepada pengarah Syamsul Yusof, Datin Patimah Ismail merujuk kepada kontroversi permohonan cerai membabitkan anaknya dengan pelakon Ira Kazar.

Perkara itu dikongsikan dalam ruangan komen media sosial sebuah portal berkenaan kemelut rumah tangga pasangan sensasi tersebut yang diperkatakan ramai sejak semalam.

Isteri kepada sutradara Datuk Yusof Haslam itu berkata, sebagai ibu selama ini dia hanya mendoakan hal yang baik-baik sahaja buat Syamsul.

(Saya) cuma mohon kepada Allah beri yang terbaik untuk anak saya” ujarnya.

Luahan itu difahamkan dibuat selepas Patimah dalam satu temubual dilaporkan bersyukur seandainya berita penceraian tersebut sahih.

Dalam artikel berkenaan, dia menyatakan hanya mahu Syamsul kembali ke jalan benar ketika mengulas berita puteranya itu memfailkan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor, semalam.

Sehingga kini Syamsul mahupun Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin, 24, belum memberikan sebarang maklum balas berhubung permohonannya itu yang turut disahkan Azmi Mohd. Rais selaku peguam Syamsul.

Sebelum itu Patimah dilihat memuat naik hantaran dalam Instagram mengenai kasih sayang tanpa batasan seorang ibu kepada anaknya.

Saya lahirkan awak, cintakan awak dahulu, sentiasa sayangkan awak dan selalu ada – ibu anda,” katanya berkongsi satu petikan mutiara kata.

Terdahulu, pasangan terbabit mendirikan rumah tangga di Selatan Thailand pada 6 Januari tahun lalu yang kemudian disahkan Syamsul menerusi video dalam Instagram.

Enggan dimadukan, pelakon Puteri Sarah pada ketika itu sebagai isteri pertama nekad memfailkan perceraian sebelum mereka berpisah secara rasmi pada 14 Jun 2023. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok