“Tak dapat pun tak apa” – Neelofa nafi buru gelaran Datuk

DIANGGAP sebagai antara individu layak dianugerahkan gelaran Datuk, selebriti dan usahawan sensasi, Neelofa menyifatkan semua itu bukanlah perkara yang menjadi buruannya di dunia ini.

Kata Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 35, kepentingannya bukan pada pangkat, sebaliknya lebih kepada bentuk sumbangan balik untuk masyarakat yang selalu menyokong kerjaya dan perniagaannya.

“Sejujurnya gelaran Datuk bukan sesuatu yang saya buru kerana, paling utama adalah bagaimana saya meletakkan diri dan memberi inspirasi kepada khalayak secara fizikal mahupun atas talian.

“Paling penting juga adalah saya mampu memberi semula sesuatu kepada masyarakat dengan cara lebih baik. Gelaran atau status itu tidak mengapalah, tak dapat pun tidak apa.

“Bukan saya tidak menghargai tetapi nantilah, tidak mengapa semua itu. Belum lagi,” katanya menerusi satu video temu bual.

Tambah pelakon drama rantaian, Suri Hati Mr Pilot itu lagi, dia bersyukur dan menghargai semua peminat yang sentiasa menyokong dan mendoakan terbaik buat dirinya dan keluarga sehingga ke hari ini.

“Saya hargai dan terharu dengan segala komen peminat dan netizen.

“Suami saya pun banyak nasihat saya supaya selalu bersyukur sebab masih disokong dan disayangi ramai orang.

“Bagi saya, itu rezeki yang paling besar,” ujarnya.

Selain Neelofa, ramai artis lain seperti Alif Satar, Ziana Zain dan Ella yang turut dianggap masyarakat patut diberikan gelaran Datuk atas faktor kejayaan dan pelbagai perkara positif selain banyak memberi inspirasi kepada orang ramai. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok