SAMA seperti rakyat Malaysia yang lain, pelakon terkenal antarabangsa kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh juga tidak dapat menahan keterujaannya untuk meraikan kemenangan atlet badminton negara yang berjaya meraih pingat gangsa di sukan Olimpik Paris.
Menerusi hantaran dalam akaun Instagram, Michelle atau nama sebenarnya Michelle Yeoh Choo Kheng, 62, menzahirkan ucapan tahniah buat pasangan regu negara, Aaron Chia dan Soh Woo Yik serta atlet perseorangan, Lee Zi Jia kerana berjaya mengharumkan nama negara.
Tahniah! Saya sangat bangga dan gembira dengan atlet Malaysia yang telah berjaya memenangi pingat gangsa dalam acara badminton di Olimpik Paris. Go Team Malaysia,” tulisnya.
Terdahulu, pelakon filem Crazy Rich Asian itu juga dilihat mengucapkan tahniah kepada bintang tenis sensasi, Novak Djokovic yang berjaya meraih pingat emas dalam acara perseorangan tenis.
Ucapan Michelle buat atlet dari Serbia itu menjadi persoalan netizen kerana pada hari yang sama, Malaysia turut meraih pingat pertama menerusi acara badminton. Namun tiada ucapan daripadanya.
Malaysia baru memenangi pingat pertama. Sepatah dua kata? Tulis netizen dalam hantaran tersebut.
Selepas dia berkongsi tentang atlet Malaysia, barulah netizen menghela nafas lega.
Akhirnya ucapan buat atlet Malaysia. Terima kasih kerana menghargai atlet-atlet Malaysia,” tulis seorang netizen.
Pada Ahad lalu atlet badminton beregu negara berjaya menewaskan pemain beregu dari Denmark sekali gus mempertahankan pingat gangsa kedua mereka di Olimpik.
Semalam, atlet perseorangan, Lee Zii Jia pula berjaya meraih pingat pertamanya di temasya Olimpik apabila menundukkan atlet dari India, Lakshya Sen. – HIBGLAM