MESKI teruja konsert sulung meraih sambutan, jauh di sudut hati kumpulan Dolla terselit rasa terkilan apabila persembahan mega itu tidak dapat disertai bekas anggotanya, Syasya.
Bagaimanapun Sabronzo atau nama lengkapnya Wan Sabrina Wan Rusli, 29, berharap rakan seperjuangan mereka yang mengundurkan diri sebelum konsert Dolla Re:Birth The Experience direalisasikan turut berkongsi kegembiraan itu.
Rasa sedih sebab perkara ini (konsert) menjadi perbualan kami sebelum Syasya keluar daripada Dolla.
“Dalam masa sama, kami gembira dapat buat konsert dan harap dia pun berperasaan sama,” katanya kepada HibGlam semasa Media Gathering Dolla, semalam.
Walaupun tidak sempat melihat senarai jemputan konsert terbabit, Tabby sangat mengalu-alukan kehadiran pemilik nama lengkap Norsyasya Afiqah Shahrizal yang pernah menjadi sebahagian besar kejayaan Dolla.
“Kami sangat sibuk buat persiapan konsert dan pihak pengurusan yang ambil alih mengenai senarai tetamu.
Saya tidak pasti sama ada Syasya dijemput sebab kami terlalu sibuk tetapi kami sangat mengalu-alukan kehadiran dia,” ujar Tabby atau nama sebenarnya Abitha Ariel Lam.
Selain itu, dia turut berharap Syasya terus menyokong karier Dolla selepas ini selain menjadikan mereka sebagai memori terindah dalam hidupnya.
Tidak kira apa pun, dia merupakan sebahagian besar perjalanan Dolla. Tidak mengapa, kami ada haluan masing-masing.
“Saya harap dia tengok kami sebagai rakan-rakan yang pernah mempunyai memori terbaik dalam hidupnya.
Kami juga berharap dia percaya kami boleh buat yang terbaik juga,” jelas penyanyi berusia 24 tahun itu.
Pada 8 April lalu, Syasya mengejutkan ramai khususnya pengikut setia Dolla apabila mengumumkan pengunduran dirinya daripada kumpulan tersebut atas sebab peribadi yang tidak dapat didedahkan.
Susulan itu, pelbagai spekulasi mula bertiup kencang termasuk perubahan imejnya yang dikatakan sudah bertudung.
Kemudian pada 21 April lalu, Syasya sekali lagi membuat kejutan apabila wakil syarikat rakaman Universal Music Malaysia mengesahkan dia sudah selamat bergelar isteri. – HIBGLAM