KUMPULAN Senario akan merealisasikan persembahan istimewa bertepatan sambutan Hari Merdeka, sekali gus menjadi tribute buat seorang anggota mereka yang telah meninggal dunia, Allahyarham Hamdan Ramli.
Persembahan komedi Senariounion tersebut akan menghimpunkan semua anggota lain iaitu Wahid, Lan Pet Pet, Saiful Apek, Azlee, Yassin, dan Pak Ya, sekali gus mengembalikan nostalgia lalu.
Saiful Apek, berkata Senariounion juga merupakan kemunculan bersejarah mereka demi sahabat yang sudah menjadi seperti keluarga sendiri termasuk Allahyarham Hamdan yang meninggal dunia Januari lalu.
“Kumpulan ini ditubuhkan sekitar 1996 yang menunjukkan hampir tiga dekad kami bersahabat biarpun ada di antara kami masuk sebagai anggota selepas Senario sudah bergerak.
“Tidak kira pada fasa mana pun, semua ahli Senario umpama adik-beradik, bahkan keluarga kami juga rapat, jadi cubit peha kanan peha kiri terasa.
“Kami tidak lupa kepada sahabat kami yang sudah tiada. Dalam showcase itu nanti, kami akan adakan persembahan penghargaan buat Allahyarham Hamdan,” katanya.
Bersyukur masih mampu berkongsi karya sehingga hari walaupun seiring waktu, banyak kumpulan serta penyanyi pelbagai genre muncul memeriahkan dunia hiburan tanah air.
Menurut Yassin pula, jika menyingkap perjalanan kumpulan itu, evolusi Senario membabitkan tiga kelompok kemasukan anggotanya namun mereka tetap bersatu demi meneruskan legasi.
“Sebenarnya Senario ada tiga ‘batch’ iaitu yang pertama adalah ketika ada Pak Ya dan arwah Hamdan, kedua adalah waktu saya dan Saiful menyertai mereka dan kemudian kami semua bersatu.
“Kami sendiri tak sangka Senario tetap diingati ramai bahkan dapat menggerakkan muzikal Senariounion yang juga demi rakan seperjuangan kami.
“Selagi kami masih sihat, walaupun baru-baru ini ada sahabat yang berhadapan masalah kesihatan, insya-Allah misi ini tetap kami teruskan,” katanya.
Dapat kepercayaan
Yassin selaku penganjur bersama dari Yasstar Empire turut mengakui terharu apabila pihak Panggung Bangsawan berminat menjemput kumpulannya mengadakan persembahan di sana.
“Alhamdulillah kami diberi kepercayaan pihak Panggung Bangsawan di Melaka untuk mengadakan showcase istimewa ini.
“Sebenarnya, pada 1 Jun lalu saya dipelawa bertugas sebagai pengacara di lokasi tersebut dan selepas acara saya dimaklumkan peminat mahukan Senario buat persembahan di sana.
“Terima kasih dan insya-Allah kami akan cuba buat yang terbaik menerusi persembahan sketsa dan muzikal selama dua jam itu nanti,” ujarnya.
Senariounion yang menjanjikan persembahan menggamit memori era kegemilangan kumpulan lawak itu akan diadakan di Panggung Bangsawan, Melaka, esok (31 Ogos). – HIBGLAM