‘Seiras tapi bukan 100%, saya mahu jumpa keluarga Allahyarham Zulfarhan’

PENYANYI Zubir Khan mendedahkan pernah berhubung untuk bertemu ahli keluarga Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia selepas didera dengan 90 tekapan seterika wap pada Julai 2017.

Menurut Zubir, perkara tersebut dilakukan selepas netizen mendakwa wajahnya seiras dengan Allahyarham dan meminta dia membantu ahli keluarga untuk melepaskan rindu.

Meskipun sudah berhubung, Zubir berkata dia belum bersedia untuk bertemu keluarga Allahyarham kerana bimbang akan menjejaskan emosi mereka dan dituduh menumpang publisiti kes tersebut.

Memang ada yang beritahu wajah kami ada iras tapi bukanlah 100 peratus serupa. Mungkin sama dari segi senyuman dan pandangan.

“Sebenarnya saya pun ada terdetik nak berjumpa mereka tapi pada masa sama, kita kena fikir situasi dan keadaan emosi yang sedang dialami keluarga Allahyarham ketika ini.

Bayangkan perkara itu berlaku kepada keluarga sendiri, bolehkah kita terima?” katanya kepada media baru-baru ini.

Tambah pelantun lagu Yennode Macha itu, bukan menolak sepenuhnya, dia akan bertemu dengan keluarga Allahyarham apabila tiba masa sesuai.

“Bukan tak nak berjumpa langsung tetapi saya perlukan masa. Saya tak nak buat keputusan terburu-buru.

Buat masa ini, saya tunggu sekiranya keadaan sudah reda, sekarang memang belum bersedia,” katanya lagi.

Pada 23 Julai lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas penuntut UPNM yang sebelum ini dipenjara 18 tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat Allahyarham Zulfarhan.

Mahkamah Rayuan berpendapat perbuatan enam bekas penuntut UPNM yang menekap seterika di seluruh bahagian badan Allahyarham Zulfarham menunjukkan mereka berniat jahat, zalim, tidak berperikemanusiaan dan tanpa ada rasa belas kasihan sesama rakan pengajian. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok