Saya tak tahu dakwaan Syamsul lafaz cerai luar mahkamah – Peguam

SETAKAT ini saya tidak menerima sebarang maklumat mengenai lafaz cerai di luar mahkamah.”

Demikian respons peguam mewakili Syamsul Yusof iaitu Azmi Mohd Rais mengenai spekulasi anak guamnya itu kononnya sudah melafazkan cerai terhadap Ira Kazar di luar mahkamah.

Malah Azmi berkata, Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof, 40, tidak pernah buka mulut mengenai perkara itu kepadanya.

“Saya juga tidak menerima saman atau dimaklumkan oleh Syamsul berkaitan hal ini.

Syamsul hanya memfailkan tuntutan perceraian dengan kebenaran mahkamah di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS),” katanya kepada HibGlam.

Azmi memaklumkan perkara itu ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor, hari ini.

Dalam masa sama kata Azmi, Syamsul terpaksa menerima dengan hati terbuka apabila tidak dapat melafazkan cerai terhadap isterinya pada hari ini.

Dia terima sahaja. Dan menanti tarikh sebutan seterusnya (25 September) depan,” ujarnya.

Syamsul menfailkan cerai terhadap Ira pada 19 Ogos lalu kerana dikatakan tidak lagi mempunyai persefahaman.

Sebutan yang sepatutnya berlansung pada hari ini (27 Ogos) terpaksa ditunda kepada 25 September depan memandangkan Ira baru sahaja melantik peguam.

Untuk rekod, Syamsul dan Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin berkahwin pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand.

Perkara itu disahkan oleh Syamsul menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Instagram pada Januari tahun lalu.

Syamsul juga sebelum ini pernah berkahwin dengan Puteri Sarah pada 8 Mac 2014 dan bercerai pada 14 Jun tahun lalu.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 7, dan Sumayyah, 5. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok