‘Saya tak sakit’ – Fazziq Muqris nafi kurus sebab Ozempic

“Saya tak sakit.”

Demikian kata penyampai radio Era, Fazziq Muqris yang didakwa sakit gara-gara susut berat badan sebanyak 11 kilogram.

Malah ada yang menuduhnya mengambil ubat diabetes, Ozempic semata-mata mahu kurus.

Menurut Fazziq atau nama lengkapnya Muhammad Fazziq Muqris Mohd Shariff, 24, dia tidak akan seesekali memilih jalan pintas untuk menurunkan berat badan sebaliknya memilih untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

“Ramai yang mencadangkan supaya saya ambil ubat-ubat tertentu untuk cepat kurus termasuklah Ozempic. Tetapi saya tak pernah dan tak akan ambil semata-mata nak kurus.

“Saya lebih sukakan cara semula jadi. Saya ada latar belakang dalam bidang olah raga. Saya merupakan seorang atlet bola sepak, renang dan pelari marathon sewaktu zaman persekolahan.

“Saya tahu cara yang lebih sesuai untuk turunkan berat badan iaitu dengan bersenam. Jadi buat apa saya nak ambil Ozempic. Lagipun kita tak tahu benda itu selamat ataupun tidak dengan kita,” katanya kepada HibGlam.

Tambah pelakon yang lahir dari program Pencarian Hero Remaja 2021 itu lagi, selain bersenam, dia turut mengamalkan diet seimbang.

“Sebenarnya sudah dua tahun saya tidak mengambil minuman manis.

“Kalau lepak kedai mamak kawan-kawan semua pesan air teh o ais, extra joss dan macam-macam lagi , tapi saya cuma  minum air kosong atau air lemon.

“Itu salah satu cara untuk saya ‘detox’. Kalau minum jus buah saya akan pastikan tiada gula.

Ditanya kenapa dia tiba-tiba mahu menurunkan berat badan, kata Fazziq itu kerana tuntutan watak dalam filem terbaharu lakonannya, Kahar: Kapla High Council.

“Sebenarnya saya turunkan berat badan bagi menjayakan watak dalam filem Kahar: Kapla High Council.

Bermula dari 2 Syawal yang lalu, saya diet dan bersenam sebagai persediaan untuk masuk set. Kini berat saya 62 kilogram.

“Alhamdulillah saya diberi peluang untuk terlibat dalam filem ini selepas menjayakan versi drama. Kali ini saya sahut cabaran untuk buat perubahan dari segi fizikal memandangkan ini naskhah prekuel,” ujarnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok