Saya tak lari ke mana-mana pun – Hael Husaini

DIDAKWA seperti mahu menjauhi media, penyanyi Hael Husaini menegaskan tiada sebab untuknya berbuat demikian mahu pun mencetuskan salah faham.

Kata Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi, 36, barangkali disebabkan jadual kerja yang padat kadang kala memerlukannya beredar segera dari sesuatu acara.

“Mungkin berlaku salah faham, kita pun ada kalanya kena akur terhadap jadual tugasan atau perlu mengikut aturan acara majlis.

“Cuma yang pasti saya tak lari ke mana-mana pun. Saya memang sedia bagi kerjasama cuma buat masa sekarang kerja saya padat,” katanya ketika ditemui di majlis Kempen Inilah Kita Astro, semalam.

Berkongsi perkembangan kerjaya, penyanyi lagu Jampi itu teruja bakal melancarkan album baharu yang memuatkan lapan lagu tahun ini.

Katanya, pasukan produksi kini dalam proses pemilihan karya terbaik yang turut diterbitkan dalam bentuk album fizikal.

“Saya memang agak cerewet lebih-lebih lagi album Antonim (Part 1) dulu mendapat sambutan yang saya sendiri tidak jangka.

“Jadi untuk buah tangan baharu yang dinamakan Antonim Part 2 saya inginkan kesempurnaan apatah katalog simpanan lagu saya juga banyak.

“Sukar buat pilihan sebenarnya kerana setiap seleksi yang ada dalam senarai mempunyai keistimewaan, itu yang buat proses pembikinan album ini agak perlahan,” ujarnya.

Terdahulu, juri program realiti Gimme the Mic itu dikatakan mengelakkan diri daripada bertemu media dalam sebuah acara tanpa diketahui punca.

Sebelum itu Hael juga didakwa beredar awal ketika menghadiri beberapa majlis hiburan sehingga mencetuskan tanda tanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok