Saya kena santau angin – Wak Doyok

Kesihatan semakin merosot, pelakon dan ikon fesyen, Wak Doyok mendedahkan dirinya kini dalam proses pemulihan akibat gangguan sihir.

Hanya menyangka sakit biasa, Wak atau nama sebenarnya, Mohd Azwan Md Nor, 45, terkejut selepas mendapatkan rawatan tradisional, sakitnya itu disebabkan santau angin.

Saya baru sahaja pulih daripada gangguan mistik. Saya kena santau angin. Bukan nak tuduh, tapi saya sudah banyak kali jumpa doktor, makan ubat tapi tetap tak pulih.

“Jadi, saya buat rawatan tradisional. Saya pelik bila waktu Maghrib, saya batuk teruk. Tekak gatal, kering dan bila malam sahaja susah nak tidur.

“Alhamdulillah, kini saya sudah beransur pulih, cuma kena berpantang. Saya tak boleh makan makanan bercucuk,” katanya kepada Kosmo! Online.

Kata pelakon filem Abang Long Fadil 2 itu, dia yakin apa yang dialaminya itu adalah angkara santau kerana ciri-ciri gangguan jelas dan nyata ada pada dirinya.

Saya bukan mahu kata apa, tapi petunjuk sudah jelas, kuku akan jadi kebiru-biruan. Itu semua adalah ciri santau yang nyata.

“Sekarang saya masih pulihkan keadaan diri dan lindungi daripada sihir,” ujarnya.

Mengulas sama ada tahu siapa yang melakukannya, Wak berkata, dia tidak tahu siapa punya angkara, namun bersedia memaafkannya.

Saya tidak tahu siapa yang hantar sihir, mungkin kenalan terdekat. Saya tidak pernah bermusuh dengan sesiapa, jauh sekali nak berhutang. Saya berhutang dengan bank sahaja. Mungkin daripada mata dan percakapan pun boleh jadi sihir juga.

“Saya terima dengan hati terbuka dan minta doa daripada emak. Saya juga berdoa agar pulih seperti sedia kala dan boleh bekerja untuk menampung keluarga.

“Untuk siapa yang buat, saya maafkan. Tapi, kena jawab dengan Allah atas perbuatannya,” tuturnya.

Terdahulu, Wak semakin banyak menerima tawaran lakonan terutama di platform OTT selepas menjayakan filem Abang Long Fadil 2.

Popular menerusi program Ke Korea Ke Kita yang dihoskan bersama Myo Oh Chentaku yang disiarkan di TV9. – KOSMO! ONLINE.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok