‘Saya gementar sampai salah masuk’ – Hafiz Suip terima sorakan terkuat

SELEPAS sekian lama menyepi, kemunculan semula penyanyi Hafiz Suip di pentas Konsert ByAjai & Mega Friends malam tadi mendapat standing ovation (tepukan berdiri) daripada penonton.

Kata Hafiz, 34, selepas lama tidak mengadakan persembahan berskala besar, dia sama sekali tidak menyangka kemunculannya akan mendapat sokongan penonton.

Namun, kerana terlalu gementar, Hafiz tersilap ‘masuk’ ketika menyanyikan lagu pertama iaitu Ku Akui.

“Saya memang gementar sangat sampai salah masuk (ketawa). Tetapi melihat sokongan penonton membuatkan saya bersemangat dan ingin memberi yang terbaik,” ujarnya yang ditemui usai konsert berakhir.

Sokongan yang diberikan penonton membuktikan penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu masih disayangi peminat meskipun sebelum ini dia pernah menyatakan sudah tidak relevan dalam industri seni.

Bahkan ‘taringnya’ sebagai vokalis lelaki terbaik dilihat masih berbisa kerana mampu menyanyikan dua buah lagu termasuk Tak Mungkin Kerana Sayang dendangan asal Datin Alyah dengan begitu baik.

Sementara itu, Hafiz juga memberitahu dia berada dalam keadaan baik sewaktu ditanya Ajai ke mana dia menghilang.

“Sebenarnya saya ada saja. Cuma sekarang saya lebih suka mengenali diri,” katanya.

Ketika di atas pentas Ajai sempat menitipkan beberapa pesanan kepada Hafiz supaya jangan tinggalkan industri seni.

“Ramai yang sayangkan anda. Hafiz seorang yang kuat.

“Ingat pesan saya jangan tinggalkan industri seni dan jangan terlalu sayangkan manusia,” pesan Ajai.

Dalam masa sama, Ajai turut memuji suara Hafiz yang disifatkan cukup luar bisa.

“Dia bila buka mulut saja, nota pertama sudah beri penghayatan yang tepat.

“Selama Hafiz menjalani proses rakaman dengan saya, dia ada beberapa lagu hits seperti Matahari dan Noktah Cinta,” katanya.

Terdahulu, Ajai seolah-olah memberi gambaran Hafiz sedang melalui situasi yang sukar.

Ajai atau nama sebenanrya Mohamad Faizal Maas, 49, bagaimanapun hanya menitipkan pesanan kepada Hafiz untuk terus kuat dan yakin penyanyi itu mampu berdepan situasi berkenaan.

Selain Hafiz, konsert berkenaan turut menampilkan penyanyi hebat lain seperti Dayang Nurfaizah, Hazama, Aina Abdul, Ila Sabry dan Aufahanie.

Konsert ByAjai & Mega Friends yang berlangsung di Megastar Arena Kuala Lumpur itu mendapat sambutan hangat apabila seramai 4,200 penonton hadir pada acara yang julung kali diadakan itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok