Saya dan Rich masih bersama – Velvet Aduk

PENYANYI Velvet Aduk menyangkal dakwaan bahawa dia dan suami yang merupakan vokalis kumpulan Estrange, Rich sudah bercerai selepas dia tidak lagi berkongsi gambar bersama dalam media sosial.

Menurut Velvet atau nama lengkapnya Velvet Lawrence Aduk, 37, dia lebih selesa tidak berkongsi kehidupan peribadinya kepada umum.

“Saya dan Rich masih bersama. Tipulah kalau saya kata kami langsung tiada masalah.

“Bila kita tidak kongsi tentang suami atau anak dalam media sosial orang akan mula membuat spekulasi. Sedangkan saya lebih suka simpan sendiri kehidupan peribadi.

“Semakin meningkat usia, saya rasa media sosial hanyalah platform untuk berkongsi tentang kerja,” katanya ketika ditemui di sidang media Konsert Sounds Of Borneo, semalam.

Ditanya adakah dia sedar orang mula bercakap tentang status perkahwinannya, kata bintang kelahiran Akademi Fantasia musim keempat itu ada orang yang terus bertanya kepadanya.

Mereka terus tanya sama ada saya dan Rich masih bersama. Saya beritahu mereka sudah tentu,” katanya sambil ketawa.

Velvet dan Rich Gimbang, 42, yang berkahwin pada Disember 2008 dikurniakan empat cahaya mata iaitu Joshua, 15, Caroline, 13, Keanu, 10 dan Denika, 7.

Bercakap tentang kerjaya seni, terbaru Velvet bakal membuat kemunculan dalam Konsert Sounds Of Borneo anjuran Dewan Filharmonik Petronas (DFP) yang akan berlangsung pada 7 September depan.

Selain Velvet, rakan duetnya Marsha dan penyanyi kelahiran Sarawak, Alena Murang antara yang akan membuat persembahan dalam konsert itu nanti.

Saya sebenarnya tidak sangka diundang oleh DFP untuk beraksi dalam konsert ini.

“Mengimbas semula memori sewaktu saya dan Marsha mahu mengeluarkan lagu duet bertemakan Sabah, banyak kenangan pahit dan manis yang kami tempuhi.

Ketika itu kami sama-sama korek tabung untuk terbitkan sendiri lagu. Kami buat atas dasar cintakan muzik. Tak sangka lagu Sumandak Sabah menjadi viral. Dan hari ini selepas beberapa tahun siapa sangka kami akan buat konsert di lokasi yang sangat berprestij seperti DFP,” kongsinya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok