MENGANGGAP Angel sebagai adik, pelakon Amir Ahnaf memohon maaf jika kehadirannya menonton konsert Dolla baru-baru ini mencetuskan kontroversi.
Kata Amir atau nama lengkapnya, Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin, 24, tujuannya ke konsert tersebut sekadar ingin memberi sokongan kepada Dolla.
Malah, dia juga bersimpati kepada Angel kerana perlu menjelaskan tentang kehadirannya ke konsert itu.
“Angel saya minta maaf. Sejujurnya saya terkejut apabila mengetahui hal itu. Perkara pertama yang saya fikir ialah kasihan pada Angel sebab perlu menjawab semua pertanyaan.
Sebenarnya saya memang meminati Dolla sejak single pertama mereka iaitu Dolla Make You Wanna. Saya bangga sebab ada artis kumpulan wanita Malaysia yang ada potensi ke peringkat antarabangsa.
“Dia menjemput saya ke konsert secara peribadi dan kami memang ada bermesej bercakap tentang konsert itu. Saya dengan Angel hanya kawan baik saja. Saya anggap dia macam adik, kecil saja orangnya,” katanya kepada HibGlam.
Amir memberi reaksi tersebut ketika ditemui dalam majlis Kahar: Kapla High Council Wrap Party di ibu kota, semalam.
Pelakon drama Syurga Itu Bukan Mudah turut berasa bimbang jika kontroversi itu mungkin akan menyusahkan Angel.
Jangan-jangan Angel sudah ada kekasih. Tidak baik buat begitu (kontroversi). Nanti kekasih dia cemburu bagaimana?,” seloroh Amir.
Biarpun mengakui sekadar teman baik dengan Angel, Amir tidak menolak sekiranya diberi tawaran untuk bekerjasama dengan Dolla.
Malah, dalam nada berseloroh Amir mengharapkan agar berpeluang meluangkan masa bersama Angel dan ahli Dolla yang lain.
“Kalau ada keperluan, saya hendak meluangkan masa dengan mereka, tetapi tidak diberi peluang.
Kepada pihak pengurusan, saya ada di sini. Saya rasa seperti satu penghormatan jika berpeluang bekerjsama dengan mereka dalam muzik video.
“Bagi saya itu satu pencapaian yang memuaskan jika berpeluang terlibat dalam projek tersebut,” katanya.
Mengulas mengenai perkenalan dengan Angel atau nama sebenarnya Angelina Chai Ka Ying, Amir memberiahu, dia mula mengenai penyanyi berusia 23 tahun itu setahun lalu.
“Awal tahun lepas kami mula kenal rapat di acara Celebfest di Singapura. Namun kami tidak pernah meluangkan masa bersama.
“Pada saya ahli Dolla ini sangat eksklusif jadi mereka tidak keluar secara umum sangat,” katanya.
Antara lagu Dolla yang diminati Amir ialah Bad, Classic dan Mungkin Ini Adalah Lagu Yang Paling Sedih Pernah Ku Buat.
Konsert Dolla: Re:Birth The Experience pada 3 Ogos lalu berlangsung di Zepp Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE