Sakitnya amat dahsyat, sukar bernafas, Riz Amin disengat serangga berbisa

MALANG tidak berbau. Itulah yang terjadi kepada pelakon, Riz Amin apabila disengat serangga berbisa sewaktu menjalani penggambaran sebuah drama di Hulu Langat, Selangor.

Menurut Riz atau nama sebenarnya Norizam Amin Nordin, 39 dia diundang oleh produksi Radius One untuk membuat penampilan istimewa dalam drama berjudul Berbagi Suami.

Menurutnya, sewaktu sedang menjayakan sebuah babak di sebatang sungai, tiba-tiba kepalanya rasa sakit dan seperti ada yang tidak kena.

“Babak ini memang menarik, babak berat melibatkan kematian, pecah kepala ada bomba dan sebagainya. Kebetulan kita berlakon tepi sungai ada batu.

Sewaktu nak melakonkan babak hujan, saya rasa seperti kena sengat serangga di bahagian kepala. Jadi saya beritahu gandingan saya iaitu Siti Elizad. Bila dia tengok dan pegang katanya bengkak. Tetapi saya kata jangan beritahu pihak produksi lagi.

“Sampailah bomba pancut air hujan, saya rasa tak boleh bernafas. Air pun dah masuk dalam hidung jadi saya terus bangun. Bila bangun pengarah terus hentikan penggambaran. Mereka tengok muka saya dah bengkak dan kelihatan seperti terbakar. Seluruh muka saya jadi kebas,” katanya kepada HibGlam.

Disebabkan keadaan semakin memburuk, pihak produksi bergegas membawanya ke klinik bagi mendapatkan rawatan.

Sewaktu dalam perjalanan ke klinik, apa yang saya boleh cakap saya hanya mampu mengucap dan beristighfar kerana  menahan sakit yang amat dasyat serta sukar untuk bernafas. Seluruh badan saya menjadi lebam kerana bisa tersebut.

“Sampai sahaja klinik doktor terus beri saya tiga suntikan dan masukkan dua botol air dalam badan. Saya juga diberikan alat bantuan pernafasan. Bacaan degupan jantung saya sangat tinggi.

Alhamdulillah, selepas mendapatkan rawatan keadaan saya beransur pulih. Namun bengkak di wajah masih ada. Saya perlu berehat dan pulih sepenuhnya sebelum kembali memulakan penggambaran,” kongsinya.

Tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak atas apa yang berlaku, kata Riz apa yang terjadi adalah kejadian yang tidak dapat dielakkan.

“Saya berterima kasih kepada pihak seluruh produksi termasuklah kru dan rakan artis kerana mereka sangat membantu dan mengambil tindakan pantas dengan membawa saya ke klinik.

Sebelum nak lakonkan babak tersebut , kru telah membersih kawasan tersebut dan menyembur racun serangga. Tetapi perkara seperti ini kita tak boleh nak jangka.

“Selepas ini saya akan lebih berhati-hati jika berlakon di lokasi seperti itu. Saya harap orang lain juga akan mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok