“SELAMA 25 tahun, saya tak pernah berbicara kepada umum soal apa yang terpendam dalam hati dan untuk itu, inilah saatnya.”
Demikian kata penyanyi ‘papan atas’ seberang, Datuk Seri Rossa atau nama sebenarnya, Sri Rossa Roslaina Handiyani tentang peluncuran filem dokumentari yang membentangkan kisah hidupnya, All Access to Rossa 25 Shining Years yang dijangka menjengah pawagam Malaysia September depan.
Penyanyi berusia 46 itu berkata, bukan mudah menjadi seorang pemain seni yang sememangnya tidak pernah akan terlepas daripada suara-suara sumbang yang selalu ingin menerjah setiap perincian naratif peribadinya.
Berpeluang menyertai rombongan ke Jakarta, Indonesia bagi tayangan perdana All Access to Rossa 25 Shining Years baru-baru ini, penulis sempat melayangkan beberapa persoalan kepada pelantun lagu Ayat-Ayat Cinta itu.
Anak kelahiran Sumedang, Jawa Barat itu berkata, tidak semua yang dilaluinya sepanjang 25 tahun bergelumang dalam dunia hiburan, manis belaka.
Kebanyakan waktu, dia terpaksa menidakkan emosi sendiri dan merawat luka jiwa tanpa bantuan orang sekeliling.
“Selama ini, saya tak pernah bicara tentang masalah peribadi, namun dalam All Access to Rossa 25 Shining Years, saya ceritakan semuanya.
“Termasuk perincian tentang perkahwinan, perceraian dan hubungan saya dengan anak, Rizky Langit Ramadhan. Sesungguhnya, tiada sebarang penyesalan dalam hidup kerana pengalaman lama menjadikan siapa saya sekarang,” katanya kepada HibGlam.
Pernah satu ketika, Rossa berniat menjual aset miliknya dan ingin membawa diri ke luar negara untuk membina kehidupan baharu.
Ketika itu sudah tidak tahu mahu hasilkan muzik yang bagaimana lagi. Saya seperti sudah kehabisan idea. Ada juga timbul rasa sudah tidak relevan dengan kemajuan muzik semasa.
“Banyak juga lagu, namun saya tidak suka keluarkan lagu yang seakan-akan berulang-ulang.
“Sebab itu saya rasa macam nak berhenti menyanyi dan jual aset-aset yang saya miliki dan mahu berpindah ke luar negara,” katanya.
Bekas isteri kepada Surendro Prasetyo atau Yoyo Padi itu mengakui pernah hilang keyakinan diri untuk bersaing dengan pendatang baharu.
“Saya lihat semakin ramai artis dan penyanyi yang meningkat naik ketika itu, mereka semua bagus.
Saya tertanya-tanya, adakah mampu atau tidak untuk bersaing dengan pendatang baharu.
“Mungkin saya kurang percaya pada diri dan fikir mahu jadi karyawan sahaja,” ujarnya.
Melanjutkan bicara, Rossa juga tidak pernah menyangka perjalanan seninya berkembang dengan mekarnya sehingga ke
Malaysia, sekali gus melayakkan dirinya diberikan gelaran Datuk dari istana Pahang.
Tidak pernah sekali terlintas dalam fikirannya untuk meraih pangkat dan darjat di luar Indonesia, namun hari demi hari, dia berasakan gelaran tersebut adalah anugerah atas hasil kerja kerasnya sebagai anak seni.
“Saya juga bingung (tak tahu). Saya hanya seorang penyanyi yang kebetulan di Malaysia karya-karya saya sangat dicintai.
Mungkin lagu-lagu saya mengiringi langkah-langkah orang di Malaysia. Maksud saya, cerita-cerita hidup orang Malaysia cocok dengan setiap karya yang saya lahirkan sejak 1990-an.
“Tidak kiralah lagu yang balada ataupun yang berentak rancak,” kata Rossa seraya menguntum senyum. – HIBGLAM
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.