Realiti perit mencari sesuap nasi di negara orang

FILEM yang baik adalah hasil sinergi beberapa elemen penting, termasuklah lakon layar, naratif, terjemahan karakter dan perihal teknikal lain seperti skor muzik dan sinematografi.

Semua yang disebutkan itu terkandung dalam sebuah mahakarya berjudul Aadujeevitham – The Goat Life.

Pertama sekali, syabas buat pengarah, merangkap penulis dan juga penerbit bersama bernama Blessy.

Sejujurnya, Aadujeevitham – The Goat Life yang diadaptasi daripada novel terlaris 2008 dengan judul sama diterjemahkan cukup terbilang pengarah terbabit.

Mengisahkan seorang imigran atau pendatang asing bernama Najeeb dari India yang mencuba nasib di Arab Saudi, filem berkenaan membentangkan realiti erti kepayahan dan keperitan mencari sesuap nasi di negara orang.

Itu sedikit sinopsis tentang Aadujeevitham – The Goat Life yang secara peribadi boleh disifatkan antara pengalaman sinematik terhebat pernah dirasai walaupun sekadar melunaskan tontonan di platform Over-The-Top (OTT), Netflix.

LATAR hidup dalam kesempitan di tanah kontang menerusi Aadujeevitham: Goat Life cukup mencengkam perasaan dan memberikan satu keinsafan kepada penonton

Keduanya, Aadujeevitham juga dikukuhkan dengan dampak sinematografi dan visual yang cukup mempesona.

Kebanyakan adegan berlatar padang pasir. Produksi karya berkenaan tahu bagaimana untuk merakamkan babak-babak ‘penting’ dan menusuk masuk tepat ke sanubari setiap penonton.

Ada satu babak, Najeeb (lakonan Prithviraj Sukumaran) cuba melarikan diri daripada cengkaman majikan orang Arab, namun terbantut tidak sampai beberapa langkah apabila mendapati tubuh seorang pekerja lain yang mati tertimbus di padang pasir sedang dipatuk kawanan burung helang.

Itu masih berbekas dalam fikiran penulis sehingga sekarang.

Skor, kualiti Prithviraj

Apa yang paling utama, naskhah yang paling cemerlang datang daripada komitmen dan penghayatan luar biasa pemain utamanya. Itu dapat dilihat menerusi kualiti lakonan Prithviraj Sukumaran sebagai Najeeb.

Sungguh, kualiti lakonan Prithviraj memang luar biasa. Memang berbekas sampai saat tulisan kecil ini dilunaskan dan mungkin berkekalan berpuluh tahun akan datang.

Penghayatan emosi, mimik wajah, lontaran dialog (walaupun minima) penuh kejujuran Prithviraj menghidupkan karakter Najeeb pada tahap tertinggi.

SETIAP babak naskhah ini meninggalkan kesan cukup mendalam di hati penonton dan wajar dipuji.

Bukan sahaja watak utama Prithviraj meninggalkan impak mendalam, bahkan watak sampingan seperti K. R. Gokul sebagai Hakeem juga sangat berbekas kepada audiens.

Seperkara lagi yang ingin dikupas adalah bagaimana skor muzik yang dikerjakan A. R. Rahman mengangkat ‘darjat’ filem berkenaan.

A. R. Rahman sememang maestro yang genius dan antara individu di dunia diberikan kelebihan bakat untuk ‘melatari’ setiap adegan dalam filem dengan skor muzik tahap ‘Olimpik’. Luar biasa.

Keseluruhannya, Aadujeevitham – The Goat Life merupakan naskhah ‘one of a kind’ yang luar biasa.

Filem ini juga mengingatkan penulis bahawa benar, Islam itu sempurna, namun tidak penganutnya. Ada sebab mengapa Allah SWT menurunkan al-Quran itu dalam bahasa Arab dan dan bangsa tersebut.

Semuanya kian jelas dalam Aadujeevitham – The Goat Life. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok