All stories end. Ours ends here.”
Demikian bait kata penuh bermakna narator naskhah bersiri Sweet Tooth yang akhirnya melabuhkan siaran selepas tiga musim siaran.
Segala kepincangan antara bangsa manusia dan hibrid (separuh manusia separuh haiwan) bernoktah dengan penuh dramatik, sekali gus menjawab semua persoalan dalam minda penggemar jenama tersebut sejak musim perdana.
Juga dijelmakan kebenaran tentang kemunculan wabak Sick yang meragut berjuta-juta nyawa manusia sehingga menyebabkan mereka hampir pupus.
Sebagai pengikut siri drama fantasi sains fiksyen berkenaan, penulis sebenarnya agak skeptikal dengan penghasilan musim ketiga selepas apa dipaparkan pada musim kedua yang disifatkan ramai agak mengecewakan.
Manakan tidak, musim pertama mendapat markah cemerlang tertinggi daripada ramai pengkritik, namun musim kedua tidak mencapai piawaian seperti diharapkan.
Musim ketiga pula memberikan pengakhiran yang selayaknya buat watak utama, Gus dijayakan pelakon cilik berbakat besar, Christian Convery.
Sejak hari pertama sehingga detik terakhir terjemahan kisah, dapat dilihat kematangan karakter Gus yang pada mulanya sekadar ‘hybrid’ namun hari demi hari, dia menjadi lebih ‘manusia’ seorang manusia biasa.
Menjawab teka-teki ramai siapa gerangan di sebalik watak narator sejak musim pertama, akhirnya semua itu terjawab.
‘Spoiler alert’ buat mereka yang belum menghabiskan tontonan, narator tersebut ialah Gus daripada versi masa depan yang sudah menginjak usia senja.
Dia berjaya hidup dengan jayanya biarpun diancam dengan pelbagai cabaran, termasuk hampir dibunuh oleh tiga watak jahat utama iaitu Dr. Singh, Abbot dan Zhang (musim ketiga).
Seorang lagi watak utama Tommy Jepperd juga diberikan keadilan sewajarnya.
Terdapat satu babak memaparkan Jepperd mengenang masa lampaunya sebagai seorang pemain besbol.
Melihat adegan tersebut, fikiran melayang terus teringatkan watak Big Mike atau Michael Oher dalam filem The Blind Side.
Selain itu, dari segi teknikal seperti sinematografi dan kesan khas (VX), Sweet Tooth memang luar biasa.
Adegan di kawasan pergunungan Alasaka mencari gua yang menyebabkan kemunculan wabak The Sick dan juga permulaan legasi Hybrid memang antara yang berbekas dalam minda penulis sehingga sekarang.
Tentang villain (watak jahat) pula iaitu Zhang, pemainnya iaitu Rosalind Chao juga tidak langsung mengecewakan.
Kalau ditanya pendapat peribadi, Zhang sebenarnya lebih meninggalkan kesan berbanding Abbot daripada musim terdahulu. Si gunting dalam lipatan, Dr. Singh adakala membuat penulis seperti mahu ‘memukul’ kepalanya yang mudah gelap mata.
Apa pun, selamat tinggal buat siri fantasi kegemaran ramai, Sweet Tooth. Sudah tiada kesinambungan kisah Gus, semua digulung sempurna! – HIBGLAM