LAMBAKAN platform podcast atau audio siar yang berlumba-lumba mahu mengejar sensasi dan kisah tular sedikit sebanyak mencetuskan gelombang toksik yang membimbangkan khalayak.
Jika tidak dikawal, akan berlaku terlalu banyak pendedahan yang melondehkan pelbagai aib dan perkara tidak sepatutnya.
Bagi aktres yang boleh dikatakan sebagai antara pencetus ‘aliran’ podcast di Malaysia iaitu Amelia Henderson, penyedia kandungan podcast perlu bertanggungjawab dengan setiap bahan yang dimuat naik bagi mengelak kontroversi mual.
Dalam perlumbaan dunia podcast, bintang Pulau itu bagaimanapun berpendapat bukan individu yang layak untuk bersuara, apatah lagi meletak sebarang syarat terhadap pemilik ruangan podcast lain.
Tutur pemilik nama penuh Amelia Thripura Henderson, ruang podcast merupakan sebuah platform yang bermanfaat untuk bertukar pendapat, namun pengendali tetap perlu berhati-hati dengan setiap topik yang dibincangkan bersama tetamu jemputan.
“Saya bukan orang yang betul-betul layak nak bercakap tentang hal ini tetapi sebagai individu yang terlibat, podcast merupakan medium berguna untuk berkongsi pendapat.
Namun, pengendali podcast itu sendiri perlu bertanggungjawablah sepenuhnya ke atas semua pendapat yang dilontarkan dalam ruangan tersebut,” kata pemilik Studio Sembang itu kepada HibGlam.
Bukan mahu menyebelahi mana-mana pihak, wanita berusia 28 tahun itu berkata masyarakat tidak seharusnya meletakkan kesalahan atau punca berlakunya kontroversi disebabkan mana-mana bahan popcast.
Katanya, banyak faktor yang mempengaruhi tercetusnya sesuatu kontroversi sehingga mengheret semua podcast lain dipandang negatif.
Bagi saya kita tak boleh nak salahkan dunia podcast sahaja kerana media sosial pun main peranan dan antara punca.
“Sebagai hos podcast sendiri, saya harus bertanggungjawab dengan setiap perkara dituturkan tidak kisahlah sama ada di hadapan kamera atau tidak,” tutur bintang filem Harimau Malaya itu.
Tidak pernah mengejar sensasi, Amelia biasanya akan meminta persetujuan tetamu terlebih dahulu sebelum menyiarkan kandungan dalam saluran podcast miliknya.
Amalan dilakukan demi menghormati perasaan tetamu undangan agar tidak menyiarkan segala isu atau kandungan yang sensitif.
“Apabila buat kerja penyuntingan, saya turut turun padang bagi memastikan semua kandungan tidak melanggar etika dan selalunya saya juga akan bertanya dahulu kepada tetamu, sekiranya mereka benarkan barulah kami akan siarkan.
Saya sangat teliti dan sentiasa berjaga-jaga. Kadang-kadang saya tapis lebih banyak daripada apa yang diizinkan tetamu.
“Saya faham, ada ketika kita akan bercakap dengan emosi tetapi demi mahu memastikan program tidak menjadi sasaran kecaman umum, sebab itu perlu lebih berhati-hati,” ujarnya.
Berkomentar lagi tentang beberapa podcast yang pernah mencetuskan kontroversi sebelum ini, katanya, kemungkinan semua yang berlaku hanya teknik pemasaran atau sekadar perkongsian realiti kisah hidup.
Sebenarnya isu-isu kontroversi ini tidak ada kena mengena dengan podcast pun.
“Cerita sebegitu telah wujud dari zaman dahulu sebelum era digital lagi.
“Sekiranya masih ramai penonton melihat konten tersebut, itu bermaksud teknik pemasaran yang mereka lakukan berjaya atau mungkin itu memang realiti yang ingin dipaparkan,” katanya.
Meninggalkan kisah podcast yang sukar ditamatkan, perbuatan menjurus ke arah filem arahan sutradara Datuk Afdlin Shauki iaitu Harimau Malaya yang turut menampilkan persembahannya.
Agak tergesa-gesa, Amelia tetap menyifatkan tawaran yang hadir pada saat akhir itu sebagai sesuatu yang tidak boleh dilepaskan.
Dia sebenarnya sudah lama menyimpan impian untuk bekerja dengan Afdlin, selain menyukai watak lakonannya, Amy yang cuba bolos tradisi wanita menyertai kumpul penyokong tegar, Ultras Malaya.
Sudah lama saya teringin bekerja dengan Datuk Afdlin. Walaupun dapat tawaran dua hari sebelum penggambaran, saya tidak fikir panjang untuk terima.
“Lagi pun saya mahu terokai watak berbeza. Bila dicabar pula dengan karakter Amy, saya lihat inilah masanya untuk merealisasikan impian tersebut,” kongsinya.
Mujurnya, dia tidak berdepan cabaran besar dalam menjayakan watak Amy meskipun menyertai penggambaran pada saat akhir.
Orang mungkin lupa saya pernah terlibat dalam beberapa program sukan sebelum ini dan perkara itu banyak membantu supaya saya tidak nampak ‘polos’ dalam filem genre sebegini.
“Harapnya apa yang saya persembahkan ‘menjadi’ dan meninggalkan impak terhadap penonton.
“Tolonglah sokong filem ini, mesejnya sangat bagus!” katanya.
Kongsinya lagi, antara yang momen paling seronok apabila berpeluang bekerja dengan nama besar dalam dunia komedi seperti Douglas Lim, Kavin Jay dan Hazama.
“Pada awalnya, risau juga kalau energi tidak seiring dengan mereka, takut saya akan tenggelam.
“Tetapi Douglas, Kavin dan Hazama memberi peluang dan ruang untuk saya bergerak seiring dengan mereka. Jadi, semuanya berjalan lancar,” ujarnya mengakhiri perbualan. – HIBGLAM