ENAM tahun bergelar pelakon, nama Ali Reza Kavoossi mungkin tidak segah bintang muda lain.
Meskipun begitu, pelakon berdarah campuran Melayu-Iran ini tidak sesekali mengeluh atau berasa ralat dengan situasi itu.
Apa yang penting bagi jejaka kacak yang mula mendapat perhatian menerusi drama ‘Do You Love Me Captain’ itu adalah kualiti kerja serta bagaimana menjaga hubungan baik dengan rakan seindustri.
“Sebagai seorang yang ‘introvert’ saya tidak pernah terfikir untuk menjadi pelakon. Saya bermula dengan berlakon iklan dan menjadi model. Bermula daripada situ ada yang nampak bakat saya dan membuka ruang untuk saya mengembangkan karier dalam bidang lakonan.
Saya juga pernah dua kali pergi uji bakat Pencarian Hero Remaja tetapi tiada rezeki saya di situ. Mungkin ketika itu saya terlalu muda dan naif.
“Saya percaya setiap yang terjadi dalam hidup pasti ada hikmahnya. Buktinya hari ini saya berjaya menjadi pelakon dan memegang watak hero biarpun tidak lahir daripada program tersebut,” katanya.
Berhati-hati memilih kawan
Di awal pembabitannya sebagai pelakon, Ali akui ada kalanya dia seakan-akan hilang arah kerana salah memilih kawan.
Natijahnya, dia terheret sama dalam kancah kontroversi rakan.
“Ketika itu saya masih ‘hijau’. Saya kawan dengan sesiapa sahaja kerana enggan dilabel sombong.
Tetapi dalam tidak sedar saya telah tersalah pilih kawan. Bila mereka hanyut, kita terikut sama.
“Tetapi selepas ibu saya meninggal dunia pada penghujung 2021 akibat kanser barulah saya tersedar. Pentingnya dengan siapa kita berkawan. Arwah ibu juga sering berpesan jangan salah pilih kawan,” kongsinya.
Kongsi anak jati Ampang itu lagi, kini dia kini lebih selesa bersahabat dengan mereka yang lebih berusia, antaranya Idris Khan.
Biarpun jarak usia agak jauh iaitu lapan tahun, kami punya banyak persamaan. Saya selesa berkawan dengan Idris. Ramai yang ingat kami adik-beradik kerana dikatakan wajah seiras.
“Berkawan dengan orang yang lebih matang secara tidak langsung membuatkan saya juga menjadi lebih matang,” katanya.
Bercinta, nanti dulu
Mempunyai rupa paras menawan dengan sosok tubuh tinggi lampai pasti ramai wanita memendam perasaan cinta terhadapnya.
Namun kata anak bongsu daripada tiga beradik ini, dia belum bersedia untuk memberi komitmen.
“Tumpuan saya kini adalah karier. Sejak ibu meninggal, saya memikul banyak tanggungjawabnya. Kini saya yang perlu uruskan semuanya sendiri termasuklah jaga rumah, memasak dan mencuci pakaian.
Memang ada ramai wanita cuba mendekati termasuklah rakan artis, tetapi saya tiada masa untuk bercinta. Saya takut tidak dapat berikan komitmen yang akhirnya membawa kepada perpisahan.
“Tetapi saya tidak menolak andai tiba-tiba ada wanita berjaya mengetuk pintu hati saya. Tetapi dia haruslah mempunyai ciri-ciri yang diidamkan arwah ibu iaitu sopan santun, menjaga agama dan sedap mata memandang,” ujarnya.
Dua drama tayang serentak
Terkini, dua drama lakonannya ditayangkan serentak iaitu Pengantin Pasti Jadi dan Polis Peronda di TV3.
Sebelum itu, drama Jefri Zain baru sahaja selesai bersiaran di TV2.
“Saya pun tak sangka dua drama lakonan saya ditayangkan serentak. Drama Pengantin Pasti Jadi sudah dua tahun siap penggambaran tetapi baru kini ditayangkan. Manakala drama Polis Peronda masih dalam penggambaran.
Alhamdulillah, saya dapat respons yang positif daripada penonton biarpun kedua-dua drama ini berlainan genre.
Drama terbaharu saya yang berjudul Sayangku Cikgu Hania akan ditayangkan tidak lama lagi di TV1. Dalam drama ini saya sekali lagi memegang watak pegawai polis bergandingan dengan Datin Elvina Mohamad.
Mahu lebar sayap ke luar negara
Nilai komersial yang ada padanya ditambah berdarah kacukan pastinya tidak sukar untuk Ali melebarkan sayap ke luar negara.
Ditanya adakah dia mempunyai perancangan itu, kata Ali sememangnya itu antara impian besarnya selama ini.
“Buat permulaan saya mahu mencuba nasib di Indonesia. Saya percaya dengan bantuan syarikat pengurusan yang baru saya sertai iaitu Mask Team, mereka mampu meneroka laluan untuk saya ke sana.
“Lihat sahaja bagaimana Anna Jobling berjaya memenangi hati rakyat Indonesia. Jika dapat peluang itu, saya akan berusaha sedaya upaya dan tidak akan mensia-siakan peluang yang ada.
Sebagai pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang perniagaan, saya juga pasang impian untuk menjadi usahawan berjaya satu hari nanti. Saya menjadikan Neelofa sebagai rujukan. Dia berjaya dalam bidang seni dan perniagaan. Kalau dia boleh, insya-Allah saya pun mampu,” katanya menutup bicara.