Pesona cinta Siti Nurhaliza di puncak Genting

ARENA Of Stars, Genting Highlands pernah menjadi saksi pencapaian gemilang Datuk Seri Siti Nurhaliza membolot deretan anugerah ketika era kemuncaknya dalam industri seni sekitar dua dekad lalu.

Selepas berpuluh tahun, Siti kembali ke lokasi ikonik tersebut demi mengimbau semua momen terakam sambil mempersembahkan sebuah konsert solo, Siti Nurhaliza Love Is In The Sky untuk dua malam berturut-turut.

Tidak perlu membandingkan kehebatan persembahan meganya dengan penyanyi lain, penghibur asal Pahang itu kekal mekar dalam liga sendiri sehingga mampu menaikkan bulu roma setiap pengunjung yang mendengarkan lantunan vokal padunya.

Beberapa hari berlalu, aroma dari tanah tinggi itu masih segar dalam ingatan. Repertoire lagu, setiap bait lirik yang berkumandang sepanjang tiga jam durasi konsert, masih terngiang-ngiang bermain-main membelai halwa telinga.

HAMPIR 40 seleksi karya cinta yang dialunkan Siti Nurhaliza dalam konsert kali ini termasuk lagu saduran.

Berbeza dengan konsert terdahulu, menerusi Love Is In The Sky, Siti Nurhaliza Taruddin, 45, mengetengahkan konsep cinta di atas awan memandangkan lokasi konsert dilakukan di tanah tinggi yang tepat dengan pilihan lagu-lagu romantis yang didendangkan.

“Apabila bersetuju buat di Genting Highland, saya dan pengurus merancang dan dapat idea membawakan tema cinta di atas memandangkan lokasi konsert di tempat tinggi.

Konsep cinta pula diambil kerana saya banyak lagu unsur percintaan. Ada juga sesetengah lagu saya tak sempat nyanyikan dalam konsert sebelum ini.

“Lagu 1990-an pula adalah lagu semasa saya zaman remaja. Peminat pun boleh menyanyi sekali seleksi hits tersebut,” katanya usai persembahan pada 10 Ogos lalu.

Membuka tirai dengan medley Jerat Percintaan, Wajah Kekasih dan Dialah Di Hati, rata-rata pengunjung terpukau dengan lantunan vokalnya yang cemerlang tanpa cela seperti sedia tahu.

KONSERT Siti Nurhaliza Love Is In The Sky membawakan konsep cinta di atas awan memandangkan diadakan di tempat tinggi iaitu Genting Highlands

Selain persembahan, susunan muzik juga patut diberi pujian. Hampir kesemua diberikan nafas baharu susunan Chaan selaku pengarah muzik dan diiringi Leman Band.

“Chaan salah seorang pengarah muzik yang bagus. Dia ada kebolehan tersendiri dan saya pula suka bekerjasama dengan ramai anak seni.

Kali ini pilih Chaan kerana Aubrey terikat dengan jadual lain. Lagi pun, Chaan merupakan pilihan tepat sebab dia muda dan sangat versatil.

“Ini kali pertama kami bekerjasama untuk konsert solo. Semua nampak gembira dengan sentuhan Chaan,” ujarnya.

Boleh dikatakan susunan medley semua lagu semasa konsert dibuat semata-mata mahu memuaskan hati peminat. Antara lagu yang disampaikan secara medley termasuk Ku Milikmu, Satu Cinta Dua Jiwa, Kau Sangat Bererti, Percayalah, Pada Cintanya, Ku Mahu dan Kau Kekasihku.

Mengenali sosok penyanyi bersuara lunak itu, Siti sememangnya lantang memperjuangkan isu Palestin.

Untuk konsert kali ini pengasas Yayasan Nurjiwa itu turut membawakan lagu Jaga Dia Untukku khas buat rakyat Palestin, khususnya anak-anak kecil di Gaza yang tidak henti-henti dibedil tentera Zionis.

SITI Aafiyah berjaya mengatasi ketakutannya dengan mengiringi nyanyian Siti bermain piano semasa membawakan lagu Nadi.

Jika konsert terdahulu, Siti sering membawakan penyanyi jemputan untuk menemaninya di atas pentas tetapi istimewanya kali ini, kedua-dua permata hatinya diangkut naik pentas sebagai pengganti.

Lebih menarik, anak sulungnya Siti Aafiyah menonjolkan bakat luar biasa bermain piano mengiringi persembahan ibunya menerusi lagu berjudul Nadi.

“Aafiyah terlibat sama sebenarnya keinginan saya sendiri. Dia belajar piano, jadi saya mahu dia ‘back up’ saya.

Bukan lagu penuh tetapi intro sahaja, hanya berada di atas pentas menemani saya. Kena pula dengan lagu Nadi yang memang khas untuk anak-anak saya.

“Ini momen paling istimewa. Kebetulan saya pujuk Aafiyah untuk bermain piano dua minggu sebelum konsert berlangsung,” jelasnya dalam nada teruja.

Momentum persembahan diteruskan dengan persembahan Cinta Tak Mungkin, Menjaga Cintamu, Seindah Biasa, Engkau Bagaikan Permata,Indah Percintaan, Kesilapanku Keegoaanmu, Seribu Kemanisan, Nian Di Hati dan Aku Cinta Padamu.

Tidak hanya lagu berbahasa Melayu, Siti turut menunjukkan kemampuan membawakan lagu Cina, Inggeris dan Tamil (Munbe Vaa) di hadapan lebih 5,000 penonton termasuk peminat pelbagai kaum yang hadir.

KEHADIRAN Umai ke atas pentas turut menjadi perhatian apabila berjaya menunjukkan kehebatan vokal menerusi duet lagu Zheng Fu dan You’re The Reason bersama Siti.

Menariknya, Siti turut memberi peluang buat anak saudaranya, Umai yang berjaya merangkul pingat emas pada pertandingan antarabangsa World Championships of Performing Arts (WCOPA) Ke-27 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) untuk berduet dalam lagu Zheng Fu dan You’re The Reason.

“Memang niat saya mahu bawa Umai bersama walaupun dulu orang mengenalinya sebagai anak saudara saya.

Umai pula sudah buktikan kemampuannya bertanding di luar negara. Orang pula sudah menghargai vokalnya sebab itu saya rasa dah sampai masa untuk ketengahkan dia.

“Saya bagi peluang dan harap digunakan sebaiknya. Boleh dikatakan kehadiran Umai dan anak-anak saya ke konsert kali ini seperti persembahan keluarga,” jelasnya sambil tersenyum.

DUA malam beraksi, konsert Siti Nurhaliza Love Is In The Sky barangkali menjadi penutup konsert solo Siti untuk tahun 2024.

Lagu-lagu lain yang didendangkan isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa itu adalah Bulan Yang Mesra, Di Kayangan Kita, Cinta Ini, Cintamu, Janji Kasih, Demi Kasih Sayang dan Diari Hatimu.

Kali ini, Siti sempat membawakan lagu-lagu cinta pujaan ramai era 1990-an seperti Tak Mungkin Berpaling (Slam), Bourgenvilla (Spring), Tiara (Kris) dan Hakikat Sebuah Cinta (Iklim).

Sebagai penutup konsert, Siti memilih Destinasi Cinta yang melengkapi konsep cinta bagi konsert Love Is In The Sky.

Dianggap sebagai penutup sempurna, bagi Siti tiada lagi konsert solonya pada tahun ini.

“Saya rasa ini konsert solo terakhir pada tahun ini, kalau tahun hadapan saya belum pasti,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok