Penjara 10 tahun, 3 sebatan, Da’i Syed bersalah tuduhan merogol

Pendakwah selebriti, Da’i Syed dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, sebentar tadi selepas didapati bersalah atas tuduhan merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.

Memetik Kosmo! Online, Hakim Norazlin Othman memutuskan demikian selepas mendapati tertuduh, Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful, 29, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Sejurus itu, suasana mahkamah pilu apabila bapa kepada seorang anak itu menangis teresak-esak selepas keputusan berkenaan dibacakan.

Da’i Syed dan peguamnya ketika hadir prosiding keputusan membela diri berhubung kes rogol wanita di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor hari ini. – NURUL NAJWA HASRAN/KOSMO!

Isteri pendakwah itu, Hana Ismail, 38, yang baru saja melahirkan anak 16 hari lalu dan memeluk penceramah itu bagi menenangkannya.

Syed Shah Iqmal didakwa atas pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika kejadian) di dalam bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, kira-kira pukul 1.35 malam, 11 September 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok