Pemergian Allahyarham Jay Jay kehilangan besar buat industri muzik – Fahmi Fadzil

MENTERI Komunikasi, Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga penyanyi Jay Jay yang meninggal dunia di Hospital Thomson, Kota Damansara pukul 9.27 malam tadi.

Menerusi hantaran dalam Instagram, Fahmi berkata, beliau menerima khabar duka itu ketika menghadiri program Himpunan Pembebasan Palestin di Bukit Jalil, malam tadi.

“Mohd. Fauzi Darus atau dikenali sebagai Jay Jay meninggalkan kita buat selamanya.

Pemergian Allahyarham adalah kehilangan amat besar dalam industri muzik tanah air.

“Takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” tulisnya dalam Instagram.

Terdahulu, rakan Allahyarham mengesahkan pemergian Allahyarham Jay Jay disebabkan kegagalan fungsi pelbagai organ dalaman.

Mei lalu, arwah menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) selepas mendapat serangan jantung ringan dan sesak nafas ketika mahu menaiki bas dari Singapura ke Kuala Lumpur.

Selepas pembedahan Allahyarham diserang angin ahmar seterusnya perlu menjalani rawatan fisioterapi di sebuah pusat perubatan.

Jenazah akan disolatkan di Masjid Al- Husna Bandar Sunway berhampiran kediamannya pada pukul 10 pagi ini.

Kerjaya penggiat seni kelahiran Kedah itu bermula sebagai vokalis dan pemain bes kumpulan Carefree yang cukup popular dengan lagu Rindu Bayangan.

Bersama kumpulan itu, mereka sempat merakamkan empat album termasuk album kompilasi sebelum masing-masing memilih jalan sendiri tiga tahun selepas ditubuhkan iaitu pada 1982.

Allahyarham Jay Jay kemudian meneruskan kerjaya seni secara solo dan menghasilkan tujuh album.

Antara lagu popular arwah adalah Kau Yang Tersendiri, Keasingan Dalam Luka serta, Cukuplah Sekali.

Allahyarham Jay Jay yang pernah menjadi pemuzik pengiring persembahan Datuk Sudirman dan Anita Sarawak serta berpadu suara dengan penyanyi Dayangku Intan menerusi lagu Kita Insan Biasa dan Peralihan Zaman.

Selain itu, beliau turut berduet dengan Ning Baizura menerusi lagu Erti Pertemuan.

Populariti Jay Jay sebagai penyanyi solo terus memuncak apabila doinobatkan sebagai Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular (ABP) 1988. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok