Pakai subang hidung bukan sebab sendu, isteri ‘backup’ Remy Ishak

TIDAK sanggup melihat suami tercinta, Remy Ishak dituduh lapar perhatian gara-gara menggayakan subang hidung, isterinya, Ezza tampil bersuara.

Ezza atau nama lengkapnya Roszaliza Yusof, 42, berkata Remy tidak memerlukan publisiti kononnya dilakukan demi menaikkan semula namanya yang semakin ‘sendu’.

“Alhamdulillah, Allah bagi rezeki dekat kami tak pernah putus. Susah suami saya ini nak dapat cuti.

“Bezanya suami saya susah nak kongsi dalam media sosial. Semoga Allah permudahkan urusan adik ya,” katanya menerusi hantaran dimuat naik dalam InstaStory.

Ibu anak satu itu turut menunjukkan tangkap layar komen netizen yang mendakwa Remy tampil dengan imej bertindik pada hidung disebabkan kerjayanya kian hambar.

Dakwa individu itu lagi, tindakan aktor berusia 42 tahun itu berani tampil dengan aksesori tersebut membolehkannya mendapat banyak liputan media.

“Mungkin sebab dah makin sendu, jadi bila buat macam ini baru ada berita ‘naik’ pasal dia,” kata individu terbabit.

Pada masa sama, Ezza berharap orang ramai tidak cepat melatah atau mudah menjatuhkan hukum terhadap seseorang.

Bahkan secara berseloroh dia turut menyatakan suaminya itu sudah memulangkan cincin hidung tersebut kepadanya.

“Cincin itu dia (Remy) sudah pulangkan kepada saya, tenang okey,” ujarnya.

Semalam, Remy atau Mohammad Zalimei Ishak yang hadir pada majlis pelancaran drama terbaharunya The Secret mengejutkan tetamu apabila muncul dengan imej bertindik di hidung.

Remy menyatakan tidak kisah dikecam kerana tampil dengan berbeza, selain mengakui subang yang dipakai itu palsu serta hanya sekadar fesyen. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok