MEMILIH pendekatan untuk tidak lagi bercakap tentang masalah rumah tangga dalam media sosial, pelakon Bella Astillah kini ingin lebih fokus kepada perkongsian kerjaya dan perkembangan anak-anak.
Kata Bella atau nama lengkapnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 30, dia faham perasaan khalayak yang sudah jemu dengan kisah masalah rumah tangga antara dirinya dan bekas suami, Aliff Aziz.
“Saya percaya orang sudah muak dengan kisah peribadi, jadi saya perlu letakkan noktah. Selepas ini saya akan lebih fokus kepada perkongsian positif iaitu tentang kerjaya dan anak-anak. Mohon maaf jika ada kekurangan dalam diri dan saya berusaha untuk menjadi lebih baik.
“Saya tidak tahu sama ada pihak sana (Aliff dan keluarga) ingin membuat kenyataan balas, tetapi saya rasa lega kerana sudah menjelaskan semua.
“Sejujurnya bukan mudah untuk mengatakan tentang perkara itu kerana saya sendiri pun meminta pandangan keluarga terutama orang tua. Mereka faham dan mengatakan kalau saya simpan lama-lama (pendam perasaan), perkara itu akan menjadi stres, jadi sebab itu saya kongsikan,” katanya ketika ditemui pada Anugerah TikTok 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini semalam.
Bella memberi reaksi tersebut ketika ditanya mengenai kenyataannya dalam media sosial tentang dia memerlukan waktu bersesuaian untuk membiarkan anak-anak berhubungan dengan ahli keluarga Aliff.
Dia turut mengatakan sejak bercerai Aliff tiada menghubungi dirinya untuk bertanyakan soal anak-anak selain difahamkan, kali terakhir Aliff bertemu dengan dua anaknya sebelum perbicaraan perceraian dengannya di mahkamah.
Dalam perkembangan lain, pelakon drama Aku Tanpa Cintamu itu turut memohon maaf atas penampilannya yang dikatakan seksi ketika menghabiskan masa bercuti dengan keluarga sekali gus tular pada bulan lalu.
Katanya, insiden tersebut berlaku secara tidak sengaja apabila salah seorang ahli keluarga merakam dan memuat naik video dalam media sosial.
“Manusia membuat kesilapan dan kejadian itu berlaku di sebuah pulau persendirian di Sabah dan hanya disertai oleh ahli keluarga sahaja.
“Mungkin kerana mak cik Bella teruja jumpa Bella selepas dua tahun tidak berjumpa, jadi dia mungkin terlepas pandang mengenai itu. Dia juga sudah memohon maaf.
“Sebenarnya kami sudah berbincang bahawa tiada gambar yang dikongsikan, tetapi tersilap. Saya juga memohon maaf mengenai itu dan selepas ini akan lebih berhati-hati kerana anak-anak juga semakin membesar dan mereka boleh melihat macam-macam di media sosial,” katanya.
Dalam video tersebut Bella dilihat mengenakan gaun pantai berwarna putih dan biru yang mendedahkan bahagian belakang badannya.
Untuk rekod, Bella dan Aliff bercerai talak satu pada 13 Jun lalu selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga.
Selepas bercerai, Aliff bersetuju memberikan hak penjagaan penuh dua anak mereka iaitu Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4, kepada Bella. – HIBGLAM