“Nyawa seakan tiada nilai” – Uyaina kecewa lambakan kes bunuh kanak-kanak

STATUS sebagai seorang ibu membuatkan emosi pengacara dan pelakon Uyaina Arshad terkesan berikutan lambakan kes penderaan dan bunuh kanak-kanak mutakhir ini.

Menurut Uyaina, 31, fikirannya sangat terganggu apabila membaca berita sebegitu terutama membabitkan ibu bapa yang tergamak melakukan perbuatan kejam terhadap anak kandung sendiri.

Sangat menyedihkan melihat laporan berita sebegitu. Lagi teruk ada kes ibu kandung dan bapa tiri dera anak sehingga meninggal dunia.

“Kes-kes sebegini yang setiap hari kita baca, memang bagi impak negatif terhadap emosi terutama saya sebagai seorang ibu dan isteri.

Ada sesetengah kes buat saya menangis dan rasa sangat kasihan dengan nasib mangsa,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Paling membuatkan hatinya kecewa apabila memikirkan bagaimana seorang ibu mahu pun bapa sanggup melakukan perbuatan kejam dengan menyakiti anak mereka sendiri.

“Sepatutnya kanak-kanak dilindungi dan dijaga oleh ibu bapa tetapi entah di mana silap, nyawa mereka seperti tiada nilai.

Paling saya kecewa apabila ibu bapa mereka pula menjadi penyebab dan membawa kesengsaraan kepadq anak-anak kecil yang tidak berdosa itu.

“Ada juga kawan saya yang memilih untuk tidak lagi melayari media sosial kerana emosi terkesan dengan laporan sebegini, impak memang sangat besar. Harap tiada lagi kes kejam terhadap kanak-kanak dilaporkan lagi,” ujarnya.

Terdahulu, negara sejak kebelakangan ini sering digemparkan dengan berita kematian melibatkan kanak-kanak dan salah satunya ialah kes seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun ditemui mati dengan kesan kecederaan dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok