Nora Ariffin diceraikan suami talak satu menerusi Instagram

Tiada angin tiada ribut, penyanyi Datuk Nora Ariffin diceraikan dengan talak satu oleh suaminya, Dr. Rushdi Ramli menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Instagramnya hari ini.

Mengejutkan ramai, Nora atau nama penuhnya Wan Norafizah Wan Ariffin, 51, memuat naik video bekas suaminya melafazkan cerai dan memberitahu segala-galanya sudah selesai.

“Saya yang bernama Rushdi bin Ramli dengan ini menceraikan dan mentalakkan isteri saya Wan Norafiza Ariffin dengan talak satu kerana Allah Taala,” lafaznya.

Nora pula hanya memuat naik kapsyen yang bersyukur semuanya selesai namun hanya Tuhan sahaja mengetahui segala-galanya.

Alhamdulillah, selesai. Allah SWT sahaja yang tahu,” katanya ringkas.

Dia bagaimanapun tidak memperincikan punca perceraian dengan Rushdi.

Sebelum ini, timbul spekulasi mendakwa rumah tangga penyanyi itu dengan Pensyarah Kanan, Jabatan Figh & Usul, Universiti Malaya berkenaan berantakan namun pelantun lagu Di Persimpangan Dilema menafikan hal tersebut.

Dia sebaliknya berkata,  masih bergelar isteri kepada Rushdi dan hubungan mereka juga masih dalam keadaan baik.

Nora berkahwin dengan Rushdi dalam satu majlis yang diadakan sekitar hujung tahun 2021.

Nora mendirikan rumah tangga dengan Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu dua lelaki dan dua perempuan.

Namun, Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.

Pada 13 Disember 2019, Nora diuji dengan pemergian anak kedua, Muhammad Syakir Aliff yang ketika itu berusia 20 tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok