Nidza Afham ‘repost’ tentang kematian 3 hari sebelum hilang

SEOLAH-OLAH memberi petanda bakal ‘pergi’, penyanyi dan YouTuber Allahyarham Nidza Afham yang ditemui tidak bernyawa di Sungai Klang, Selangor, petang semalam sempat mengulang siar video berkaitan kematian dalam TikTok.

Nidza Afham atau nama sebenarnya Muhammad Nidza Afham Mokhtar, 23, memuat naik hantaran tersebut sekitar tiga hari sebelum kehilangannya dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Video berdurasi 42 saat itu berlatarkan suara pendakwah terkenal, Datuk Kazim Elias yang membicarakan soal kematian.

Menerusi paparan dikongsikan, kelihatan seorang individu sedang menunggang motosikal di atas jalan raya.

“Kadang-kadang Allah cabut nyawa kita balik kerja naik motosikal.

Hujan dah elok nak masuk simpang depan, motosikal lain langgar dari belakang kereta lain pulak mai (datang) lenyek. Allah!

“Polis ambil kutip dengan plastik hitam,” demikian antara petikan kata-kata dalam video tersebut.

Perkongsiannya menarik perhatian ramai yang meninggalkan komen dengan mendakwa arwah seperti tahu ajalnya semakin hampir.

Dia macam dapat rasa… yang pergi dulu semua orang baik,” tulis pengikut akaun lain.

“Nidza Afham repost macam dah tahu-tahu sahaja,” kata seorang netizen.

Awal pagi semalam berita kehilangan peserta I Can See Your Voice 3 itu dikongsi adiknya yang juga penyanyi, Aufahanie bagi memohon bantuan orang ramai mengesan atau memberikan maklumat berkaitan kehilangan abangnya itu.

Namun tidak sampai 24 jam pencarian, Allahyarham ditemukan sekitar pukul 7 malam kira-kira satu kilometer dari lokasinya dilaporkan hilang iaitu berhampiran Jambatan Sungai Klang di Klang, Selangor.

Mayatnya yang memakai baju jersey bernombor 56 ditemui orang awam sekitar pukul 7 malam semalam, sebelum dibawa ke Hospital Shah Alam untuk pengecaman dan bedah siasat.

Difahamkan jenazah akan dikebumikan petang ini iaitu sebaik bedah siasat yang dijalankan pagi tadi selesai. – HIBGLAM

@abey_myrull Takdir yang diredhai🥹 #fyp #fyp ♬ original sound – Ustaz Kazim Official

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok