DEMI menghidupkan watak dalam filem Keluang Man, pelakon Nas-T sanggup ikat perut daripada mengambil makanan berkarbohidrat semata-mata ingin mendapatkan bentuk badan yang benar-benar kelihatan seperti adiwira.
Kata Nas-T atau nama lengkapnya Nas Muammar Zar Nasruddin, 40, pengorbanan yang dilakukan hampir setahun demi memegang watak Keluang Man itu dari awal penggambaran.
“Saya buat persediaan untuk filem sudah masuk 10 bulan, sejak disahkan galas watak ini sehinggalah sekarang sebabnya ada ukuran kostum, jadi saya kena ikut ukuran dan kekalkan berat badan ini sampai selesai promosi filem.
“Sekarang sudah masuk 10 bulan saya diet, tak ambil karbohidrat dan ambil protein sahaja. Fasa ini akan berterusan sampai filem selesai ditayangkan tahun depan.
“Inilah pengorbanan saya, pada awalnya agak sukar untuk sesuaikan tetapi lama-lama sudah terbiasa tidak makan nasi. Jadi, sekarang tengok nasi tak rasa nak makan,” katanya kepada HibGlam semasa majlis pelancaran sut rasmi Keluang Man, semalam.
Sepanjang terikat komitmen Keluang Man, Nas-T akui menolak beberapa tawaran lakonan semata-mata memberi fokus terhadap naskhah arahan Anwari Ashraf Hashim yang mengangkat karya kartunis Allahyarham Kamn Ismail tersebut ke layar.
“Penggambaran Keluang Man padat, jadi saya tiada selit kerja lain dan terpaksa tolak tawaran yang datang.
“Namun, saya tolak secara baik kerana maklumkan ingin beri tumpuan kepada projek yang sudah lama saya nak buat.
“Bagi saya ini adalah periuk nasi dan karier saya jadi saya kerah diri saya untuk beri yang terbaik.
“Kalau memerlukan saya jaga makan, saya buat. Lagipun saya sudah biasa jadi, bukan penyeksaan pun bagi saya untuk buat semua ini,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, pelakon itu turut mengakui bayaran yang diterima untuk menjayakan komitmen sebagai Keluang Man berbaloi dengan pengorbanan dilakukan.
“Saya buat bukan kerana duit, saya buat disebabkan jenama Keluang Man sebab dari awal lagi memang saya nak projek ini.
“Bukan diberi tetapi saya sendiri datang uji bakat. Ini kiranya mimpi saya jadi kenyataan apabila dapat menjayakan watak adiwira ini,” tuturnya.
Keluang Man adalah siri animasi popular yang diperkenalkan pada akhir era 1990-an dan filem superhero ikonik Malaysia memulakan penggambaran pada 4 Mei lalu yang kini dalam fasa pasca produksi.
Penggambaran dijalankan di sekitar Lembah Klang serta lokasi yang sinonim dengan animasi Keluang Man iaitu Kluang, Johor.
Filem animasi ikonik tersebut akan ditayangkan di pawagam pada 2025. – HIBGLAM