Nadeera ‘bersih’, bukan kaki gaduh

CEKAL. Itu perkataan tepat menggambarkan semangat penyanyi Nadeera yang teguh memperjuangkan karier nyanyiannya meski masih bertatih selepas mengungguli program realiti, Big Stage tahun lalu. 

Menyedari sukar memahami kehendak pemerhati dunia hiburan, pemilik nama lengkap Farah Nadeera Zaini itu letak ke tepi soal mengejar populariti, sebaliknya nekad menghasilkan satu demi satu single.

Namun, entah di mana silapnya lagu dendangannya, Emas tiba-tiba terpalit kontroversi apabila dikatakan milik Aina Abdul. 

Terkejut diajukan perkara itu selepas  hampir setahun Emas diterbitkan, penyanyi bertubuh genit terbabit menegaskan dia sendiri turun padang sepanjang pembikinan lagu tersebut.

“Saya tidak tahu sumber dari mana berkaitan isu lagu Emas. Saya jumpa sendiri komposer dan penulis lirik sepanjang bekerjasama. 

“Tiada pun isu tentang Emas sepatutnya khas untuk orang lain, apatah lagi dengan Aina. Saya memang tidak tahu,” katanya kepada HibGlam. 

Dalam masa sama, timbul dakwaan Nadeera bermasam muka dengan Aina yang pernah menjadi teman serumahnya gara-gara berebut lagu.

Pantas menangkis spekulasi liar, penyanyi berusia 30 tahun itu berkata dia tidak pernah bersengketa dengan mana-mana artis apatah lagi rakan sendiri.

Bahkan jika tercetus salah faham atau masalah, dia akan bertindak segera agar tidak berpanjangan. 

Nadeera berjanji akan berusaha sedaya upaya memastikan single Bukan Lagi Kita mara ke AJL.

“Saya juga tak pernah bergaduh dengan mana-mana artis sepanjang bergelar penyanyi. 

“Saya sangat profesional dalam kerja. Sekiranya ada masalah dengan mana-mana pihak, saya akan segera selesaikan. 

“Ini bagi menjaga hubungan baik sesama artis dan orang industri demi kebaikan bersama,” ujar anak Mersing, Johor itu. 

Cinta terhadap karier

 Enggan berlama-lama membicarakan isu pergaduhan, Nadeera mengemas kini tentang penampilannya yang semakin kurus. 

Kongsinya, perubahan ketara itu tiada kaitan dengan soal putus kasih memandangkan dia lebih mencintai karier nyanyiannya daripada membazirkan masa menjalin hubungan dengan mana-mana lelaki. 

“Saya kurus sebab mahu lebih menjaga kesihatan. Saya amalkan pemakanan seimbang dan bersenam, bukanlah saya kurus sebab putus cinta. Buat masa sekarang  saya masih tutup pintu hati untuk sesiapa sahaja. 

“Cinta saya buat masa sekarang hanyalah terhadap kerjaya. 

“Jadi, untuk saya bercinta dan beri komitmen ke arah itu, risau melambatkan urusan karier yang tengah saya kejar sekarang,” ujarnya.

Mengulas perkembangan terkini, Nadeera tampil dengan buah tangan terbaharu berjudul Bukan Lagi Kita yang dilancarkan dua hari lalu di semua platform. 

“Single baharu saya ini hasil ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh. 

“Lagu ini secara peribadinya mengisahkan tentang hubungan toksik dan manusia narsistik.

“Dilancarkan pada 16 Ogos lalu, alhamdulillah saya bersyukur ramai suka dan menyokong lagu ini,” luahnya dalam nada gembira.

BUKAN Lagi Kita merupakan single terbaharu Nadeera yang dicipta dan ditulis oleh Hael Husaini serta Iqie Hugh.

Lebih teruja, anak bongsu daripada dua beradik itu sememangnya sudah lama menantikan peluang kerjasama dengan penyanyi terkenal Hael Husaini yang sememangya terbukti hebat menghasilkan karya-karya indah.

“Sebenarnya bekerja dengan Hael Husaini merupakan salah satu impian  besar saya.

“Syukur apa yang saya impikan selama ini akhirnya jadi kenyataan. Kalau nak tahu saya peminat setia karya Hael terutama lagu  Peluang Kedua dan juga Diam. 

“Bagai bulan jatuh ke riba, kami berkolaborasi menerusi Bukan Lagi Kita dan harap dapat bekerjasama lagi dengan Hael pada masa akan datang,” jelasnya lagi. 

Menurut Nadeera, meskipun lagu itu belum dilancarkan sebelum ini, ramai sudah memberikan reaksi positif sehingga ada yang meletakkan harapan tinggi bagi single tersebut. 

Tidak menjadikan itu sebagai kelebihan, penyanyi yang bernada tinggi berkenaan mengakui merasakan tekanan tetapi akan mencuba yang terbaik untuk melayakkan diri ke Anugerah Juara Lagu (AJL). 

“Apabila orang sudah letakkan harapan tinggi, saya ada rasa tekanan tersebut tetapi ambil dalam bentuk positif. 

“Apa yang boleh saya katakan, saya akan cuba buat sehabis baik untuk lagu Bukan Lagi Kita. 

“Sekiranya ada rezeki ke AJL, saya akan buat yang terbaik terutama buat peminat dan Hael serta Iqie Hugh. Itu doa saya,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok