SEBAGAI rakan seperjuangan, pelakon Fadhli Masoot mengakui terkejut sebaik mengetahui kontroversi Amir Ahnaf yang hangat diperkatakan netizen sejak beberapa hari lalu.
Bagaimanapun, Fadhli, 28, mengambil pendekatan tidak campur tangan urusan peribadi Amir atau nama sebenarnya, Muhammad Amir Ahnad Mohd. Khairudin.
“Saya terkejut apabila dapat tahu (isu Amir Ahnaf). Saya cuba fikir perkara ini tidak akan terjadi kalau Tuhan tak izinkan dan mesti ada sebab mengapa Tuhan izinkan terjadi sekarang.
“Kami rapat sebagai kawan industri seni. Tidaklah begitu rapat kerana kami bercakap mengenai perkembangan industri seni dan saling mengagumi teknik lakonan masing-masing.
“Mungkin ada perkara yang patut dia perlu tengok balik, sama ada dirinya atau orang sekeliling yang ambil tahu tentang perkara itu,” katanya kepada HibGlam ketika majlis makan malam dengan pelakon Teater Andak Bertandak semalam.
Pelakon drama Projek: High Council itu hanya mampu mendoakan yang terbaik sekali gus berharap tiada lagi isu berbangkit.
“Perkenalan kami pun bermula semasa terbabit dalam drama Projek: High Council dan dari situ kami kagumi cara lakonan satu sama lain.
“Selama perkenalan pun, Amir tak pernah terbuka mengenai kisah peribadi dan saya tak boleh melebih-lebih.
“Apa saya boleh buat, tidak bersuara atau pertahankannya. Cuma saya doakan yang terbaik buat dirinya,” ujarnya.
Sebelum ini, seorang wanita membuat pendedahkan dalam TikTok mengenai hubungannya dengan seorang pelakon baharu yang kian popular.
Menerusi hantaran itu, wanita berkenaan berkongsi beberapa foto mesra dengan artis yang didakwa Amir malah mendakwa mereka saling mengenali sejak setahun lalu.
Dalam perkongsian sama, wanita tersebut turut memuat naik tangkap layar InstaStory anggota kumpulan Dolla, Angel yang mengulang siar video dikongsi Amir ketika hadir ke konsert Dolla baru-baru ini.
Amir sebelum ini menafikan ada menjalin hubungan cinta dengan Angel sebaliknya memberitahu mereka hanya sekadar kenalan rapat. – HIBGLAM