Mierul Aiman laris, kena tempah 10 bulan awal

REZEKI tidak pernah salah alamat. Frasa tersebut umpamanya menggambarkan perjalanan karier hero kegilaan ramai, Mierul Aiman yang banyak menerima tawaran lakonan selepas membahang menerusi Projek: High Council tahun lalu.

Selepas menyerlah dalam drama popular tersebut, kelibat lelaki berusia 25 tahun itu rancak menghiasi televisyen dan juga platform over-the-top (OTT).

Perihal tersebut sekali gus membuktikan bakat lakonan pemilik nama lengkap Mohammad Amirul Aiman Norazman itu cemerlang sehingga mampu ‘menangkap’ mata pengarah tempatan.

Bagi Mierul, bukan platform yang diketengahkan untuk menerima mana-mana tawaran tetapi dia mementingkan garis haluan yang mampu mengangkat namanya ke peringkat lebih tinggi.

Bagi saya, industri ini taman permainan saya. Sayalah yang bertanggungjawab untuk mencipta keseronokan itu.

“Dalam lakonan, bukan platform mana yang perlu saya fikir atau bahaskan tetapi naskhah bagaimana yang boleh mengangkat bakat dan kebolehan saya,” katanya kepada HibGlam.

Menurut juara Hero Remaja 2021 itu, disebabkan ada tawaran datang serentak, dia mengakui pihak produksi terpaksa meminangnya beberapa bulan awal supaya tidak bertembung dengan projek lain.

MIERUL kini rancak menjalani penggambaran drama Anak Anak Mafia terbitan Zeel Production.

Atas faktor kekangan ruang, saya tidak boleh ambil semua tawaran, kadangkala datang serentak tiga naskhah sekali gus. Jadi ada produksi yang sudah menempah saya 10 bulan awal.

“Contohnya untuk projek bulan April tahun hadapan, mereka sudah maklumkan untuk ‘tempah’ (ikat kontrak) dengan saya pada bulan ini,” katanya yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama Anak-anak Mafia siaran TV3.

Ditebak mengenai kriteria pemilihan tawaran, Mierul cenderung mencari kelainan watak lebih-lebih lagi karakter yang tidak pernah digalas.

Saya tidak yakin untuk label diri high demand (permintaan tinggi), tetapi saya perlu buat pilihan kerana banyak tawaran datang serentak.

“Saya membuat pertimbangan dengan melihat kepada karakter yang ditawarkan.

Sebelum ini saya pernah bawakan watak budak sekolah kemudian watak lelaki kampung yang lebih santai dan kuat bergurau,” jelasnya.

Meskipun sibuk dengan tugasan sebagai anak seni, jejaka asal Putrajaya itu bijak membahagikan masa bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Saya tidak nafikan pekerjaan ini memang penat tetapi kepenatan yang berkualiti. Bila cuti, saya suka bersantai dengan keluarga, kadang-kadang saya akan bermain futsal.

Hidup saya masih sama. Kadangkala pagi-pagi sudah sibuk. Jika kerja habis awal, saya akan lepak bersama kawan-kawan.

“Tidaklah hanya lepak di kedai mahal. Makanan di kedai tom yam semua sedap-sedap ya,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok