MELUAHKAN rasa gembira dan terharu, pengacara popular Datuk Aznil Nawawi teruja apabila cadangannya untuk mewujudkan media sosial khusus untuk rakyat Malaysia mendapat perhatian Menteri Komunikasi.
Aznil, 61, menzahirkan ucapan terima kasih kepada Fahmi Fadzil yang memaklumkan akan membuat kajian terperinci sebelum membangunkan paltform digital itu.
Kata Aznil, usaha tersebut meskipun kelihatan sukar tetapi tidak mustahil dilakukan.
Alhamdulillah, saya percaya kita boleh bebaskan diri dan anak-anak kita daripada doktrin (pegangan) Yahudi.
“Terima kasih kepada semua yang sudah mendengar luahan saya.
Lihat apa yang kalian telah buat, menteri sendiri sudah beri komen. Kita tengok nanti apa yang akan berlaku berikutnya,” katanya ketika dihubungi HibGlam hari ini.
Aznil menyatakan hasrat untuk membangunkan media sosial khas buat rakyat tempatan itu dalam satu video di Instagramnya.
Pada masa sama, pelakon filem Cicak-Man berkenaan percaya usaha membangunkan media sosial itu dapat mengawal aktiviti jenayah dan penyalahgunaan kandungan internet dalam kalangan kanak-kanak.
Malah, Aznil dan pihaknya turut merangka strategi sebelum mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi dalam tempoh masa terdekat.
“Kita juga senang kawal kejadian buli siber, judi online, pemerdagangan manusia dan gangguan seksual kanak-kanak (child grooming),
Pihak saya pun tengah mempersiapkan pasukan dengan idea dan cadangan yang lebih mantap sebelum bertemu menteri.
“Memandangkan menteri juga memberi maklum balas segera, saya fikir pertemuan itu akan dilakukan secepat mungkin,” jelasnya.
Sebelum ini Aznil mencadangkan untuk mewujudkan plaform media sosial khusus untuk rakyat Malaysia susulan tindakan pihak Meta menurunkan hantaran berkaitan Palestin di Facebook.
Bagaimanapun program Himpunan Pembebasan Palestin yang diadakan semalam di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur tidak mendapat sekatan siaran langsung daripada pihak Meta. – HIBGLAM