Maharaja naskhah cerdik, bukan klise

BARU berkesempatan menghabiskan sedikit waktu menonton filem Tamil yang mencetus fenomena tersendiri seluruh dunia berjudul Maharaja.

Secara peribadi, sebagai seorang penonton yang tidak begitu lazim dengan industri filem Tamil atau Kollywood, Maharaja memberikan antara pengalaman sinematik luar biasa.

Kendatipun ada ‘hits’ dan ‘misses’ yang kadang-kadang kurang konsisten dan membuatkan pemikiran audiens agak kucar-kacir, sekurang-kurangnya filem ini memberi dampak kuat kepada penonton.

Ini adalah antara naskhah terbaik 2024 dengan seni lakon layar, suntingan, pengarahan, terjemahan karakter paling wajar menjadi pilihan tontonan ramai.

BUKAN hanya aksi, pusingan plot dan alur cerita berkualiti, Maharaja turut terkandung lakonan hebat semua pelakon terlibat termasuk teraju utama, Vijay Sethupathi.

Maharaja bukan naskhah tipikal Tamil yang barangkali kebanyakan masa memomokkan audiens dengan babak yang tidak masuk akal, namun sebuah penceritaan cukup matang untuk dihadam ramai dengan nilai tersendiri.

Filem ini memilik dua latar masa atau timeline iaitu 2009 dan 2023 dan berhubung-kait antara satu sama lain yang ‘dijahit’ dengan cukup teliti dan agak sempurna.

Pengarah, pelakon genius

Untuk itu, syabas dan tahniah buat mereka yang terlibat dari aspek terbabit iaitu pengarah (Nithilan Swaminathan) dan pasukan suntingan (Philomin Raj).

Dua aspek tersebut adalah apa yang membuatkan Maharaja mahal di mata.
Berikutnya, watak utama iaitu Maharaja yang dimainkan Vijay Sethupathi sangat cemerlang terjemahannya.

Peranan utama dalam filem Maharaja disempurnakan cukup cemerlang oleh pelakon berpengalaman India, Vijay Sethupathi.

Seperti apa dinyatakan di perenggan terdahulu bahawa penulis tidak begitu lazim dengan industri Kollywood, namun Sethupathi membuatkan diri ini ingin terus menggali hasil-hasil kerjanya terdahulu dan industri itu secara amnya.

Dari segi mimik muka, konsistensi lontaran dialog, aksi dan penghayatan, Sethupathi membuktikan orang Asia memang kalau bab lakonan, berada pada kelas yang cukup tersendiri.

Kalau gelanggang Oscar itu memang satu perbandingan yang adil, untuk edisi selanjutnya tidak menjadi satu ‘jenayah’ Sethupathi direkomendasikan sebagai antara calon terbaik dari aspek lakonan.

Pusingan plot

Selain itu, apa yang membuatkan Maharaja sangat lain daripada yang lain adalah kecerdikan pusingan plot atau plot twist.

Penulis secara peribadi tidak begitu dapat menebak klimaks atau pengakhiran filem adalah seperti apa yang dipaparkan (walaupun ada kelompongan dari beberapa segi)kerana terlalu banyak cerita yang ingin disumbat dalam karya hebat.

MAHARAJA tersenarai dalam Top 10 carta filem popular Netflix di Malaysia.

Siapa sangka dendam 14 tahun ‘perantaranya’ adalah tong sampah bernama Lakshmi merungkai ‘luka’ antara dua lelaki yang merobek jiwa ramai usai realiti terbentang pada penghujung alur cerita.

Penghujung yang bagaimana? Itu semua harus ditonton sendiri filem Maharaja yang masih lagi tersenarai dalam Top 10 carta filem popular Netflix di Malaysia.

Plot twist yang sangat membuatkan jiwa meraung, babak aksi dan pertumpahan darah menderas adrenalin sehingga tidak senang duduk dibuatkan walaupun ada sedikit cela yang diungkapkan dalam beberapa perenggan atas, itu semua antara kesan utama ditinggalkan Maharaja. Syabas. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok