PELAKON sensasi Hafidz Roshdi enggan memberikan sebarang reaksi mengenai keputusan pendakwaan Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini hari ini untuk meneruskan perbicaraan pertuduhan mencederakan bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri tahun lalu.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Asmah Che Wan pada sebutan semula kes di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib.
Hafidz atau nama lengkapnya Muhammad Hafidz Roshdi, 30, dilihat sugul saat keluar dari kamar mahkamah dan memilih untuk tidak mengulas lanjut.
Maaf saya tiada komen,” katanya ringkas.
Bapa dua anak itu yang hadir sendirian mengenakan kemeja berwarna ungu kemudian bergegas meninggalkan perkarangan mahkamah.
Sementara itu, peguam Hafidz Datuk Akberdin Abdul Kader mengakui terkejut dengan keputusan untuk meneruskan perbicaraan meskipun sebelum ini Shuhada telah menarik balik laporan.
Susulan itu pihaknya akan membuat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Saya agak terkejut apabila pendakwaan memaklumkan meneruskan kes ini, namun pihak pembelaan tetap menghormati keputusan pendakwaan.
“Kami akan membawa perkara ini kepada perhatian pihak AGC dan mohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan baharu untuk representasi berkenaan yang akan dilampirkan bersama surat penarikan balik laporan polis oleh pengadu,” kata Akberdin.
Siti Fatimah menetapkan 14 Oktober ini bagi sebutan semula kes dan keputusan representasi itu.
Sebelum ini, mahkamah telah dimaklumkan mengenai laporan tarik balik kes yang dibuat oleh Shuhada.
Bagaimanapun dalam prosiding hari ini, Shuhada tidak hadir di mahkamah.
Pada 13 Mac 2023, Hafidz didakwa dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Shuhada dengan menumbuk pipi kiri wanita itu sebanyak tiga kali sehingga luka, lebam dan bengkak.
Hafidz didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya, Hulu Selangor pukul 3.22 pagi pada 2 Mac tahun lalu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya. – HIBGLAM