SETIAP orang dilahirkan berbeza. Setiap orang juga memiliki cita rasa berbeza. Apa yang membezakan hanyalah tahap perbezaan cita rasa yang adakala menjadi sesuatu yang pelik dan tidak terfikir oleh orang lain.
Lebih pelik lagi apabila semacam ada sejenis kecanduan mula menjadi rutin di penikmat itu terhadap sesuatu jenis makanan dan minuman yang harus dijamah.
Pelik tapi benar. Kali ini Daebak menyenaraikan beberapa artis kesayangan ramai yang memiliki tabiat pemakanan yang mungkin agak aneh bagi orang lain.
Tzuyu Twice
SEWAKTU kemunculan dalam rancangan realiti Girls Who Eat Well, penyanyi Tzuyu mengakui gemar menghancurkan biskut menjadi serbuk sebelum dimakan.
Bukan hanya makan serdak, ahli Twice itu akan menggaulkan serdak itu ketika makan nasi.
“Mungkin kelihatan pelik tetapi rasanya lebih sedap dari apa yang anda fikirkan,” katanya.
IU
MELALUI rancangan temu bual berjudul Citizen Talk Show Hello, penyanyi IU menamakan hati mentah sebagai makanan kegemarannya. IU atau nama lengkapnya Lee Ji-eun turut mengakui biasanya menikmati hati mentah dua atau tiga kali sebulan.
Sekiranya hati mentah mudah didapati di mana-mana, penyanyi berusia 31 tahun itu mahu memakannya setiap hari.
Jelas pelakon siri popular Hotel Del Luna itu, dia menyukai rasa dan bau darah pada hati yang mentah sehingga membuatkan kelihatan enak untuk dimakan.
Kang Daniel
BEKAS ketua kumpulan Wanna One, Kang Daniel sangat menyukai daun bawang dan bakon.
Mungkin kedengaran tabiat makanan yang biasa tetapi sebenarnya dia suka makan daun bawang dan bakon tanpa perlu dimasak
Peminat mula meluahkan rasa bimbang setelah melihat Kang menikmati bakon mentah dalam rancangan realiti It’s Dangerous Beyond The Blankets kerana boleh menyebabkan keracunan makanan dan masalah kesihatan.
Namun, Kang menjelaskan tabiat sebegitu sudah berlarutan sejak zaman persekolahan lagi.
Victoria f(x)
PENYANYI Victoria dari kumpulan f(x) mempunyai tabiat sukakan makanan yang mampu membuatkan orang lain ragu-ragu untuk mencubanya.
Semasa dalam rancangan temu bual Golden Fishery- Radio Star, Victoria mendedahkan dia suka makan otak ayam sewaktu berada di China sambil membandingkan rasanya dengan tofu.
Dia juga menyukai makanan seperti mata ikan, kulit babi, hati lembu mentah, lidah lembu dan ulat sutera yang dikukus.
Jaemin NCT
DALAM sebuah rancangan televisyen berjudul Idol Room, pihak produksi menyediakan makanan dan minuman yang selalu diambil penyanyi Jaemin termasuklah minuman americano dengan lapan ‘shot’.
Anggota kumpulan NCT itu sangat gembira menikmati minuman tersebut walaupun rasa kopinya terlampau kuat tetapi dapat membantunya untuk fokus sewaktu bekerja.
Selain americano, pemilik nama lengkap Na Jae-min itu juga sangat menyukai makanan pedas dan manis. Dia pernah memasak kentang manis goreng disalut gula untuk ahli kumpulannya yang lain.
“Saya mempunyai gula perang di sisi katil dan akan memakannya setiap kali berasa bosan,” kongsinya. – HIBGLAM