‘Lagu Hidayah istimewa, kisah saya peluk Islam’

SELEPAS lebih dua dekad berkarya sebagai komposer, penulis lirik, penerbit dan penyanyi, Damian Mikhail akhirnya tampil dengan lagu solo kerohanian berjudul Hidayah.

Menurut bekas  anggota kumpulan Voice of Euphonious (V.E) itu, single berkenaan cukup istimewa kerana diilhamkan daripada perjalanannya menerima hidayah dan memeluk Islam 16 tahun lalu.

Single terbaharu ini menceritakan tentang hidayah iaitu petunjuk daripada Allah kepada insan yang terpilih.

“Hidayah seringkali dikaitkan dengan insan yang baru memeluk agama Islam. Namun, hidayah itu sendiri merangkumi perkara yang lebih menyeluruh.

Susunan muziknya cukup sederhana sesuai dengan mesej hidayah itu yang merupakan sesuatu yang masih segar buat saudara baharu,” ujarnya.

Kata Damian, lagu berkenaan dicipta sepenuhnya oleh Adi daripada kumpulan nasyid Saujana dan diterbitkan secara eksklusif bersama Azalinor Saujana.

Selain itu, Hidayah turut mendapat sentuhan pemuzik berpengalaman iaitu Syafiq Vai (gitar) dan Nazrin (cello) daripada kumpulan SOG.

DAMIAN bakal mengadakan persembahan di Liberal Latte, Kuala Lumpur pada 31 Ogos ini.

Lebih istimewa, video muzik Hidayah menampilkan pempengaruh dan selebriti terkenal, Maryam Narae atau lebih dikenali sebagai Maryam DurianKimchi.

Video muzik berkenaan berjaya menyentuh hati penonton walaupun tanpa kehadiran Damian kerana perjalanan mencari hidayah mereka hampir serupa.

Untuk rekod, Damian dan Maryam memeluk Islam sebagai persediaan disatukan dengan pasangan masing-masing.

Namun begitu, perjalanan hidayah Damian telah hadir lama sebelum beliau mendirikan rumah tangga iaitu sejak dibangku sekolah lagi apabila sering berkawan dengan  ramai rakan beragama Islam.

Lagu Hidayah diterbitkan oleh Scriptology Sdn Bhd dengan edaran digital Euphoria Music dan sudah boleh ditonton di platform YouTube.

Bukan itu sahaja, peminat yang merindui Damian boleh menyaksikan persembahannya secara langsung dalam Damian Mikhail Live pada pukul 8 malam di Liberal Latte, Kuala Lumpur pada 31 Ogos ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok