GARA-GARA kurus mendadak, pelakon Along Eyzendy telah dituduh mengambil bahan terlarang.
Menurut Along atau nama sebenarnya, Mohd. Eyzendy Mohd. Aziz, 45, tuduhan negatif itu sering diterima sewaktu membuat sesi siaran langsung (live) dalam media sosial.
“Sekarang selain berlakon saya juga berniaga sarapan pagi bersama isteri. Jadi ketika berniaga saya selalu buat live, ketika itulah ramai yang akan bertanya kenapa kurus? Saya okey atau tidak?
Jadi, saya perlu membuat penerangan secara ulangan. Pada mulanya memang terasa hati dan penat untuk terangkan keadaan saya lama-kelamaan alah bisa tegal biasa. Saya sudah lali dan layankan saya pertanyaan netizen Malaysia,” kata Along.
Tambah Along, dia telah dinasihatkan oleh doktor untuk mengekalkan berat badan dibawah 63 kilogram selepas menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang pada April 2021.
Oleh kerana itu, Along telah mengubah gaya hidup menjadi lebih sihat selain tidak makan malam.
Demi menjaga berat badan saya telah kurangkan makan dan tidak makan malam walaupun kadang-kala hati teringin makan seperti dahulu.
“Saya juga akan pastikan dapat tidur yang cukup selama lapan jam dan perlu elak perkara yang membuatkan saya cepat sakit contoh seperti terkena hujan atau berada di persekitaran ramai orang sakit,” tuturnya.
Selain itu, kata Along doktor mengesahkan dia berada dalam keadaan yang baik.
Namun begitu, pemeriksaan berkala masih diteruskan dan terdapat ubat yang perlu diambil seumur hidupnya.
“Pesakit pemindahan buah pinggang seperti saya memang perlu memakan ubat yang mencegah penolakan organ.
Ini kerana antibodi kitab oleh mengesan jika terdapat organ asing yang dimasukkan ke dalam badan. Ubat itu akan mengelakkan antibody badan menyerang organ tersebut,” kata pelakon filem Budak Kelantan itu lagi.
Along yang ditemui pada majlis sidang media Teater Dang Anum (The Untold Story) di Park Inn by Radisson, Putrajaya, semalam.
Bercakap tentang penglibatannya dalam teater kali ini, jelas Along cabarannya lebih berat meskipun pernah membintangi teater yang sama tahun lalu.
“Tahun lepas saya membawakan watak Sultan tetapi kali ini sebagai Bendahara. Jadi, kira watak baharu selain watak Bendahara lebih penting serta banyak babak,” kongsinya.
Teater arahan Amirul Haswendy itu bakal dipentaskan pada 27 hingga 29 September depan di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin dan turut dibintangi oleh Adam Shahz, Ain Sufia, AG Hafiz Hotfm, Affan Mohd., Md Husin dan Karl Dannish.
Jualan tiket untuk menonton teater ini mula dibuka mulai 25 Ogos 2024 pada harga bermula RM25 dan RM65. – HIBGLAM