Kunto Aji kembali ‘curhat’ di Kuala Lumpur

SEPERTI acara wajib tahunan, Kunto Aji bakal kembali lagi ke Malaysia buat kali ketiga selepas terakhir berkunjung pada 4 Ogos tahun lalu di Zepp Kuala Lumpur.

Genap setahun, penyanyi Indonesia itu akan beraksi di lokasi sama yang diibaratkan seperti rumah keduanya menerusi konsert Perjalanan Menawar Racun bertarikh 28 Ogos depan.

Pada konsert kali ini, Kunto atau lebih mesra disapa Mas Kun itu akan membawakan lagu daripada album terbaharunya berjudul Perjalanan Menawar Racun yang dilancarkan tahun lalu.

Pemilik nama lengkap Kunto Aji Wibisono, 37, berkata kedatangan kali ini adalah bagi mempromosikan album terbaharu selain seleksi lagu dari buah tangan terdahulu seperti Terlalu Lama Sendiri, Rehat dan Saudade yang terkenal dalam kalangan peminat Malaysia.

SEBELUM mengadakan konsert, Kunto akan mengadakan sesi ‘busking’ sambil beramah mesra bersama peminat di sekitar Kuala Lumpur.

Saya amat teruja untuk membawa jelajah Perjalanan Menawar Racun ke Kuala Lumpur. Setiap persembahan adalah perjalanan peribadi dan saya tidak sabar untuk berkongsi pengalaman ini dengan peminat saya di Malaysia.

“Nama konsert ini adalah Perjalanan Menawar Racun yang merupakan lagu daripada album terbaharu saya yang dilancarkan pada bulan September tahun lalu.

Jadi, kami jadikan nama tersebut satu konsert jelajah album. Tahun lalu saya tak sempat lancarkan album sebelum konsert di Kuala Lumpur,” katanya kepada HibGlam.

Menariknya, kehadiran anak kelahiran Yogyakarta ke negara ini demi merealisasikan sesi luahan hati bersama peminat sehari sebelum konsert di Zepp KL.

Saya juga tidak sabar mahu keliling bandar dan bertemu dengan orang Malaysia untuk berkongsi cerita dalam ‘Kelas Urup & Update Kehidupan’ yang akan berlangsung sehari sebelum konsert bermula.

“Sebelum ini, saya tak sempat berborak dengan pengunjung, jadi kali ini saya ingin jalan-jalan dan cuba makanan di Kuala Lumpur sambil bermain gitar di jalanan.

Semasa ‘busking’, saya boleh sesi ‘curhat’ (luahan perasaan), berborak mengenai apa-apa topik dan cari solusi untuk sesuatu permasalahan supaya lebih dekat dengan pengunjung,” ujarnya dengan teruja.

NAMA konsert ini diinspirasikan daripada album terbaharu Kunto iaitu Perjalanan Menawar Racun yang dilancarkan pada September tahun lalu.

Pemenang tempat keempat program nyanyian Indonesian Idol itu juga bakal menjelajah ke beberapa bandar Indonesia sebelum ke destinasi terakhirnya di Malaysia.

Ditanya mengenai persiapan dari segi stamina melakukan konsert jelajah, Mas Kun hanya menjaga rutin harian selain pengambilan produk makanan tambahan.

“Saya akan berjalan ke lima kota iaitu Malang, Yogyakarta, Semarang, Bandung, Jakarta dan Kuala Lumpur sehingga hampir tidak ada masa berehat kerana aktiviti sangat padat.

Dari sekarang saya belajar untuk tidur dengan betul, buat senaman dan juga ambil vitamin semuanya untuk persiapan konsert.

“Saya buat semua ini hanya mahu berhibur dan bertemu pendengar. Apa yang penting saya mahu pengunjung gembira,” jelasnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok