“WAKTU saya mandikan jenazah Jay Jay, kulitnya sangat licin dan bersih.”
Itu kata penyanyi Datuk Hattan yang berkongsi momen memandikan jenazah sahabat baiknya, Jay Jay.
Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin, 59, berkata, kulit arwah putih melepak, bersih dan licin ketika dimandikan di Masjid Al Husna, Bandar Sunway, pagi tadi.
Macam kulit budak-budak saya tengok. Bersih betul keadaan arwah, alhamdulillah,” dedahnya kepada HibGlam.
Hattan berkata demikian ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang, Sunway, pagi tadi.
Berkongsi lanjut, penyanyi lagu Rendang Tak Berbuah itu berkata, kali terakhir mereka bekerjasama adalah menjayakan persembahan di sebuah majlis perkahwinan di Kelantan pada Februari lalu.
Katanya, arwah ketika itu kelihatan tidak sihat selain perubahan pada tubuh badannya yang kian susut.
“Kali terakhir bekerjasama dengan beliau sewaktu persembahan majlis perkahwinan anak rakan kami di Kota Bharu, Kelantan sekitar enam bulan lalu.
Ketika itu badannya nampak susut, macam tak sihat. Kalau tanya beliau akan jawab okey sahaja. Kelihatan tenang dan santai,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hattan mengakui terkejut mendengar berita pemergian Jay Jay yang disifatkan sebagai seorang sahabat baik yang banyak berjasa.
“Masa dengar berita kematian Jay Jay memang terkejut gila. Setahu saya dia mengamalkan gaya hidup sihat, selalu berjoging. Amat terasa kehilangan dia.
Dia seorang kawan yang sangat baik, saya tak pernah jumpa orang yang sebaik dia, boleh disebut ‘legend yang baik’.
“Banyak juga jasa dia dalam kerjaya seni saya. Dia banyak main bes untuk lagu-lagu dan konsert saya. Terlalu banyak jasa arwah,” katanya.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd. Fauzi Darus, 67, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang, Bandar Sunway, pada pukul 11.15 pagi.
Allayarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Thomson, Kota Damansara, Petaling Jaya, pada jam 9.27 malam tadi. – HIBGLAM